Anda di sini

Formula 1: Mercedes tidak akan berkompromi dengan Red Bull

Advertisement
 Bottas meraikan kemenangannya menjuarai F1 GP Austria pada 5 Julai lalu. — Gambar AFP
YAKIN: Bottas meraikan kemenangannya menjuarai F1 GP Austria pada 5 Julai lalu. — Gambar AFP

SPIELBERG, Austria: Pengurus pasukan Formula Satu (F1) Mercedes, Toto Wolff mungkin melihat pasukan beliau meraih kejuaraan pada perlumbaan F1 pertama musim ini di Grand Prix Austria Ahad lepas tetapi beliau masih menegaskan ‘tiada kompromi’ apabila saingan dengan Red Bull disambung Ahad ini.

Valtteri Bottas memenangi perlumbaan di Litar Red Bull Ring minggu lepas ketika musim F1 2020 akhirnya bermula.

Bagaimanapun, rakan sepasukan beliau yang juga juara bertahan, Lewis Hamilton, berada di tangga keempat selepas menerima dua bantahan dari Red Bull sehari sebelum perlumbaan kerana taktik semasa ujian masa kelayakan.

Hamilton disingkirkan ke petak kelima dari petak kedua sebelum perlumbaan dan kemudian berlanggar dengan pemandu Red Bull, Alex Albon yang menjejaskan harapan menaiki podium walaupun  menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

“Kami bernasib baik untuk menamatkan perlumbaan dan daya tahan enjin adalah kebimbangan utama. Kami menjadikan ia keutamaan kami sekarang,” akui Wolff.

Tetapi kecewa dengan bantahan setiap hari dari Red Bull, Wolff memberi amaran kepada pengurus Red Bull, Christian Horner dan pasukannya: “Ia menjadi serius sekarang. Tiada kompromi. Tiada lagi bersikap baik – kami kini bersaing sepenuhnya.

“Jadi, pada musim yang pendek dan tegang seperti ini, dengan jumlah sebenar perlumbaan belum diketahui, setiap mata adalah sangat penting.”

Perlumbaan kedua musim ini juga akan berlangsung di Red Bull Ring, dengan perlumbaan hujung minggu ini diberi nama bersempena dengan Banjaran Styrian.

Selepas melihat dari lorong pit ketika Bottas meraikan kemenangan ketiga beliau bersama Mercedes, pemandu Red Bull, Max Verstappen mahukan tuah yang lebih baik hujung minggu ini.

Pemandu dari Belanda itu, yang terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal kerana masalah elektrik pada keretanya, berharap untuk menggapai ikrar Horner bahawa Red Bull melihat setiap perlawanan “seperti final pertandingan” dengan memberikan saingan yang serius kepada Mercedes.

Horner terkilan dengan nasib malang menimpa Verstappen dan juga kemalangan Albon pada lewat perlumbaan dengan Hamilton, yang menyebabkan  pemandu Mercedes itu dinafikan tempat kedua selepas dipotong lima saat.

Hujung minggu ini, beliau menjanjikan pendekatan lebih agresif berbanding sebelum ini – apabila Red Bull membantah setiap hari terhadap Mercedes pada setiap perlumbaan – dan berkata beliau akan memburu kemenangan.

“Minggu lepas, saya fikir satu kemenangan boleh dicapai,” kata Horner.

“Kami mempunyai strategi yang bagus dan ia mengecewakan kerana kami tidak mengutip sebarang mata. — AFP

Advertisement