Anda di sini

Berlesen atau tidak, anjing berkeliaran di tempat awam akan ditangkap - Lau

Advertisement
 

SIBU: Ahli Dewan Negara, Senator Robert Lau (gambar) mengingatkan pemilik anjing di sini supaya mengurung anjing mereka di halaman rumah dan memohon lesen.

Ini kerana, katanya, Sibu telah diisytiharkan sebagai zon merah bagi penyakit rabies sebulan yang lalu. 

Lagi membimbangkan, jelasnya, apabila terdapat dua kes kematian di Sibu yang disebabkan oleh gigitan anjing yang dijangkiti oleh rabies.

"Justeru, pasukan petugas khas di Sibu yang menyelia keadaan penyakit tersebut akan mengambil tindakan untuk menangkap anjing yang dilepaskan di tempat awam tanpa mengira ia dilesenkan atau tidak.  

"Pemilik anjing diingatkan untuk mengurung anjing peliharaan mereka di halaman rumah dan memohon lesen daripada pihak berkuasa berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Lau juga mahu pemilik anjing memberikan vaksin anti-rabies kepada haiwan kesayangan mereka itu daripada  Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak melalui program-program vaksinasi percuma yang telah dan akan dijalankan di beberapa kawasan di sini.  

"Pasukan petugas telah menubuhkan pasukan penangkap anjing yang diketuai oleh polis untuk menangkap semua anjing yang berkeliaran. Tolong ambil serius perkara ini," tegasnya lagi.

Beliau memberitahu, anjing yang ditangkap akan dibius dan akan tidur selama 48 jam.

"Kita semua perlu memainkan peranan untuk mengurangkan dan membasmi penyakit rabies.  

"Pasukan petugas khas yang akan menangkap anjing ini akan mula beroperasi pada minggu depan," tambahnya lagi.

  • oleh
  • Advertisement