Anda di sini

Tukang cuci didenda RM10,000 kerana memiliki 438 telur penyu

Advertisement
Hukuman dijelaskan secara terperinci terhadap tertuduh (dua kiri).
Hukuman dijelaskan secara terperinci terhadap tertuduh (dua kiri).

KUCHING: Seorang tukang cuci didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana melakukan kesalahan memiliki sejumlah 438 biji telur penyu tanpa izin, jumlah terbesar pernah dirampas oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC), setakat ini.

Hakim Mohd Taufik Mohd @ Mohd Yusoff menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd Faizal Yakub, 27, yang mengaku bersalah mengikut Seksyen 29(1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dan dihukum di bawah Seksyen 29(1)(c) akta yang sama. 

"Setelah meneliti fakta kes, mengambil kira kepentingan awam serta berat kesalahan yang dilakukan dan menerima pengakuan bersalah tertuduh, mahkamah menetapkan tertuduh didenda RM10,000 atau sebulan penjara sekiranya gagal membayar," ujar Taufik semasa menjatuhkan hukum. 

Lelaki yang bekerja di Stutong itu didakwa memiliki sejumlah telur penyu tanpa izin dari Pengawal Kehidupan Liar pada 7 September 2019, jam 3.04 petang di sebuah Pasar Tamu Kubah Ria di sini. 

Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota penguatkuasa dari SFC sedang melakukan pemeriksaan di pasar tersebut dan mendapati tertuduh gagal menunjukkan pemilikan yang sah ke atas telur penyu tersebut. 

Sebelum dijatuhkan hukum, tertuduh merayu agar tidak dikenakan hukuman berat kerana dia merupakan sumber utama keluarga dan bertanggungjawab memberi nafkah kepada seorang anak serta ibunya yang uzur. 

Pegawai Pendakwa dari SFC, Anisa Fadhillah Mohamed Jamel bagaimanapun memohon mahkamah mengambil kira beberapa faktor sebelum menjatuhkan hukum agar ia dapat dijadikan pengajaran oleh tertuduh dan orang awam. 

Jelasnya, tertuduh telah melakukan kesalahan memiliki telur penyu dari keluarga Cheloniidae, yang dilindungi dan disenaraikan di bawah Bahagian 1 Jadual 1 di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998. 

"Telur yang dimiliki juga merupakan jumlah terbesar yang pernah pihak kami rampas. Tertuduh juga didapati mempunyai niat untuk menjualnya," kata Anisa sambil menambah, usia tertuduh juga menunjukkan dia mampu menilai tindakan atau perbuatannya itu adalah betul atau salah. 

Tertuduh tidak diwakili peguam. 


Hukuman dijelaskan secara terperinci terhadap tertuduh (dua kiri).

  • oleh
  • Advertisement