Anda di sini

Pembangunan infrastuktur asas di Samarahan giat dilaksanakan, dijangka siap hujung 2021 - Abang Johari

Advertisement
Abang Johari ditemani Dr Rundi mendengar penerangan berkaitan projek bekalan air bahagian Samarahan.
Abang Johari ditemani Dr Rundi mendengar penerangan berkaitan projek bekalan air bahagian Samarahan. 

KUCHING: Projek infrastuktur asas yang giat dibangunkan di bahagian Samarahan dijangka siap menjelang hujung 2021 sekali gus merancakkan pembangunan sosio ekonomi di kawasan tersebut.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, antara projek infrastuktur asas itu, bekalan air, naik taraf jalan pesisir dan pembinaan benteng laut termasuk pusat pengumpulan hasil tani bersepadu Sebangan.

"Justeru, kita berharap pelaksanaan projek infrstruktur asas ini dapat disiapkan menjelang hujung 2021 nanti yang akan merancakkan lagi pembangunan ekonomi di sini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat dan meninjau pelaksanaan projek bekalan air Bahagian Samarahan di Pusat Khidmat N.27 Sebuyau, Kampung Sampat, Sebuyau dekat sini hari ini. 

Mengulas lanjut tentang projek infrastuktur asas itu, Abang Johari berkata, bagi bekalan air yang menelan kos RM500 juta, kerja-kerja pemasangan paip utama sedang giat dijalankan dari Samarahan, Asajaya, Sadong Jaya, Simunjan hingga ke Sebuyau.

"Sistem paip ini disambung terus dari Kuching (Lembaga Air Kuching) yang akan membekalkan bekalan air 24 jam kepada pengguna di kawasan ini sekali gus menyelesaikan masalah air yang dialami penduduk di sini," tambahnya.

Selain itu, beliau memberitahu, kerajaan Sarawak juga sedang menaik taraf jalan pesisir di bahagian tersebut dalam usaha meningkatkan sistem pengangkutan di situ.

Dalam pada itu, katanya, Kerajaan Sarawak melalui Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) memperuntukkan RM500 juta bagi membina benteng laut di empat kawasan potensi pertanian di bahagian Samarahan.

Jelas beliau, benteng laut itu dibina di Asajaya, Sadong Jaya, Sebangan hingga ke Sebuyau bagi menghalang air masin daripada memasuki kawasan pertanian yang boleh menjejaskan tanaman petani.

"Ini akan menyelesaikan masalah pertanian di kawasan ini disebabkan air masin kerana kawasan ini berpotensi untuk sektor pertanian seperti tanaman kelapa pisang dan nanas," tegasnya.

Selain itu, Abang Johari berkata, pusat pengumpulan hasil tani bersepadu juga dibina di Sebangan, Sebuyau yang akan menjadi pusat pengumpulan sebelum hasil tani dan perikanan dieksport ke luar.

"Inilah usaha kita dalam meningkatkan pendapatan penduduk di kawasan luar bandar yang sedang giat dilakukan," ujarnya.

Hadir sama Menteri Utiliti Dato Sr Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Julaihi Narawi, Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Naroden Majais dan tetamu kehormat lain.

  • oleh
  • Advertisement