Anda di sini

Pasukan di EPL rebut slot kelayakan ke Liga Juara-Juara

Advertisement
 Antara babak-babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Crystal Palace dan Chelsea di Sellhurst Park. — Gambar AFP
BERTEMBUNG DI UDARA: Antara babak-babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Crystal Palace dan Chelsea di Sellhurst Park. — Gambar AFP

LONDON, England: Chelsea naik ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris selepas menang 3-2 di Crystal Palace sementara Leicester tercicir ke tangga keempat selepas hanya mampu seri dengan Arsenal pada Selasa.

Chelsea semakin hampir mengesahkan slot kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan dengan kemenangan ketujuh dari lapan perlawanan untuk meletakkan mereka satu mata di hadapan Leicester dan lima mata di hadapan pasukan di tangga kelima, Manchester United ketika saingan memburu kelayakan ke Liga Juara-Juara semakin sengit.

Chelsea bernasib baik dengan membuka jaringan di Selhurst Park apabila bekas pemain Chelsea, Gary Cahill, mengalami kecederaan yang membolehkan Willian mengumpan bola kepada Olivier Giroud untuk menjaringkan gol keempat beliau dari enam perlawanan.

Prestasi Christian Pulisic sejak musim disambung semula telah menyebabkan beliau dibandingkan dengan bekas bintang Chelsea, Eden Hazard, dan Hazard pastinya berasa bangga melihat gol kedua Chelsea apabila Pulisic menewaskan Joel Ward sebelum merembat ke pintu gol.

“Christian sangat penting kepada pasukan,” tambah pengurus Chelsea, Frank Lampard.

Seperti yang sering berlaku musim ini, Chelsea gagal mengambil sepenuh peluang dari penguasaan bola dan Palace berjaya merapatkan kedudukan apabila Wilfred Zaha melakukan rembatan jarak jauh untuk gol pertama Palace dari empat perlawanan.

Chelsea dilihat mengesahkan tiga mata penuh apabila pemain gantian, Ruben Loftus-Cheek dan Tammy Abraham bergandingan cantik untuk menjaringkan gol ketiga ketika berbaki 19 minit.

Namun seminit kemudian, Palace merapatkan kedudukan sekali lagi apabila Christian Benteke menyempurnakan hantaran Patrick van Aanholt untuk gol kedua beliau musim ini.

Persoalan tentang sama ada pertahanan Chelsea cukup kuat untuk mengekalkan saingan liga musim hadapan masih timbul dan mereka dipaksa bekerja-keras untuk mempertahankan kedudukan dengan penjaga golnya, Kepa Arrizabalaba menepis satu cubaan Scott Dann sebelum terjahan lewat pertahanan Chelsea, Kurt Zouma, menafikan Benteke gol penyamaan Palace.

Leicester hanya menang sekali dari enam perlawanan sejak musim disambung semula, menyebabkan kedudukan selesa mereka di tangga ketiga sebelum ini semakin hilang tetapi mereka bernasib baik untuk pulang dari Stadium Emirates dengan keputusan seri 1-1.

Pierre-Emerick Aubameyang membuka jaringan buat Arsenal sebelum penjaga gol Leicester, Kasper Schmeichel menepis cubaan Alexandre Lacazette ketika Arsenal mengawal awal permainan.

Lacazette juga melihat satu gol beliau tidak dibenarkan pengadil kerana ofsaid sebelum Leicester mendapat kelebihan apabila pemain Arsenal, Eddie Nketiah dilayangkan kad merah selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) menunjukkan beliau melakukan terjahan keras ke atas James Justin.

Leicester mengambil sepenuh peluang dengan kelebihan seorang pemain apabila Jamie Vardy menyempurnakan hantaran Demarai Gray untuk mengekalkan kelebihan dua gol berbanding Aubameyang dalam saingan untuk anugerah penjaring terbanyak liga.

Harapan Arsenal untuk memburu empat tangga teratas liga kelihatan sudah berakhir dengan keputusan seri ini selepas kekal sembilan mata di belakang Leicester dengan baki empat perlawanan musim ini.

Di kelompok bawahan liga, gol pertama Danny Welbeck dalam Liga Perdana buat Watford juga amat bernilai kerana ia membantu pasukannya menewaskan Norwich 2-1 untuk menjarakkan kedudukan dari zon penyingkiran.

Kekalahan hampir pasti menyebabkan Norwich tersingkir dari Liga  Perdana. — AFP

Advertisement