Anda di sini

Kami terbeban, luah rakyat Limbang dan Lawas

Advertisement
(dari kiri) Mohamad, Nong dan Awangku Syahrizan.


 
LIMBANG: “Bantulah ringankan beban kami,” itu luahan penduduk di bahagian ini hari ini selepas Negara Brunei menguatkuasakan Perintah Bayaran Keluar dan Bayaran Masuk, 2020 kepada pelawat luar dan rakyat negara itu bermula 1 Ogos ini.

Menurut Pengerusi Persatuan Melayu Limbang (PML) Mohamad Abu Bakar, penduduk di sini akur dengan keputusan yang dibuat negara jiran Brunei.

Bagaimanapun katanya, kerajaan Sarawak perlu melihat dan mengkaji sedalam-dalamnya kesan caj tersebut khususnya kepada penduduk Limbang yang kedudukannya tersepit secara geografi di tengah-tengah Negara Brunei.

“Sebagai rakyat yang terbeban, kami mengalu-alukan  apa jua usaha kerajaan Sarawak untuk mendapatkan kebenaran bagi rakyat Limbang untuk berulang alik ke Miri atau Lawas.

“Kerajaan Sarawak perlu melihat atau mengkaji kesan caj tersebut dan mengunakan budi bicara ataupun pertimbangan sebaiknya  untuk membantu rakyat Limbang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad juga berharap agar ketiga-tiga wakil rakyat di Limbang dapat membantu rakyat Limbang yang tersepit di tengah negara Brunei dan perlu melalui negara itu untuk ke Miri mahupun ke Lawas.

Pada masa sama katanya, kerja-kerja pembinaan jalan  alternatif yang menghubungkan Limbang  ke Miri tanpa melalui negara Brunei harus dipercepatkan.

“Inilah hasrat kerajaan untuk membangunkan  jalan terus ke Miri, tanpa melalui Brunei dan kita berharap ianya dipercepatkan jangan hanya menjadi buah mulut atau janji sahaja,”ujarnya lagi.

Seorang lagi penduduk Limbang, Nong Sarawak berkata walaupun akur dengan keputusan negara jiran, tetapi pada masa sama Kerajaan Sarawak perlu memikirkan satu alternatif untuk rakyat Sarawak terutama sekali penduduk di bahagian ini.

“Caj ini pastinya memberi kesan kepada rakyat di bahagian ini terutama yang  berulang alik ke Limbang mahupun Lawas untuk bekerja. 

“Kerajaan negeri perlu mempercepatkan laluan alternatif menghubungkan Limbang  terus ke Miri tanpa melalui Brunei ataupun mengurangkan lagi tambang pengangkutan udara,”ujarnya.

Bagi penduduk Lawas, Awangku Syahrizan Awangku Kifni berkata penduduk di bahagian ini khusus yang mempunyai keluarga besar terpaksa berbelanja banyak untuk berulang alik selepas caj itu dikuatkuasakan nanti.

“Sebagai penduduk Lawas, kami terkesan dengan caj tersebut khususnya yang mempunyai keluarga ramai.

“Berat rasanya bagi kami yang selalu berulang alik ke Brunei  untuk melawat sanak saudara di sana dan juga atas urusan kerja ke Limbang dan Miri,” katanya lagi. 

  • oleh
  • Advertisement