Anda di sini

IADA Kota Belud bukan projek gagal

Advertisement
 Ronald menyaksikan penyerahan pelan IADA Kota Belud daripada Pengarah IADA Kota Belud Salmah Labulla kepada Pegawai Daerah Kota Belud Diyanah Abdullah.
PELAN: Ronald menyaksikan penyerahan pelan IADA Kota Belud daripada Pengarah IADA Kota Belud Salmah Labulla kepada Pegawai Daerah Kota Belud Diyanah Abdullah.

KOTA BELUD: Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud terbukti berjaya meningkatkan produktiviti pengeluaran hasil padi di negeri ini semenjak diwujudkan dan masih terlalu awal untuk mengatakannya sebagai projek yang gagal.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee berkata semenjak dilancarkan lima tahun lepas, IADA Kota Belud berhasil merekodkan tuaian hasil padi dua kali setahun berbanding setahun sekali.

"IADA sudah mencatatkan sedikit kejayaan walaupun tidak merangkumi keseluruhan kawasan yang ada disebabkan kekangan infrastruktur," katanya, pada sidang medianya di sini.

Ronald berkata setakat ini seramai 3600 pesawah dikenalpasti di Kota Belud dan ada beberapa kawasan yang belum mendapat sistem pengairan juga berminat dengan IADA kerana melihat potensi penanaman padi.

Menurutnya, IADA dalam proses awal pembangunan dengan peruntukan lebih RM350 juta pada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan setakat ini RM159 juta sudah digunakan, manakala baki RM203 juta pula akan diselaraskan ke dalam RMK-12.

"Kita jangkakan Kota Belud akan terus menjadi jelapang padi yang penting dengan 60 peratus hasil pengeluaran di Sabah dihasilkan dari daerah ini sekalipun wujud kekangan kemudahan infrastuktur," katanya.

Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan terus memberikan tumpuan penting kepada pembangunan produktiviti dan infrastruktur di Kota Belud sebagai jelapang padi yang utama.

Mengulas lanjut, beliau berkata Kota Belud terletak di lembah yang dikelilingi Kundasang dan setiap kali hujan lebat di tanah tinggi terbabit akan menyebabkan limpahan air hujan mengalir ke kawasan rendah daerah ini.

"Jadi kita memerlukan sistem perparitan dan pengairan yang berkesan termasuk pendalaman sungai yang harus ditangani bersama untuk melihat kejayaan lebih besar IADA pada masa hadapan," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata IADA bukan sahaja mengurus bekalan air (di kawasan sawah padi) tetapi turut menguruskan air berlebihan (banjir) di daerah ini sekaligus menuntut langkah lebih berkesan dijalankan.

Menyentuh hal berkaitan, beliau berkata Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) berhasrat untuk mendirikan lima lagi kilang padi di negeri ini yang dijangka akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

Untuk rekod, laporan Penyiasatan Pengeluaran Padi Kebangsaan (CSS) mendedahkan pada musim lalu IADA Kota Belud mencatatkan pengeluaran hasil padi 25, 900 metrik tan.

  • oleh
  • Advertisement