Anda di sini

Dua keluarga nekad hantar anak ke AADK

Advertisement
AISYAH
AISYAH

SANDAKAN: Sayangkan anak tangan-tangankan...mungkin itu pepatah paling sesuai bagi menggambarkan kesanggupan dua keluarga di Sandakan yang memilih bagi menghantar anak mereka menjalani rawatan di Pusat Rawatan dan Pemulihan Dadah.

Dua keluarga itu menghantar anak mereka masing-masing berusia 20 dan 35 tahun ke pusat itu selepas mendapati kedua mereka mula terjebak mengambil dadah antara dua hingga tiga tahun lalu.

Ketua Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sandakan Aisyah Abdul Karim berkata ibu bapa orang kena tahan (OKT) tersebut nekad mengambil keputusan menghantar anak mereka ke AADK kerana bimbang kesan lebih buruk berlaku.

"Tindakan dua keluarga dari kawasan Batu 7 dan Batu 2 itu wajar dipuji kerana bukan mudah untuk berbuat demikian.

"AADK mengambil tanggungjawab untuk meneruskan prosedur rawatan dan pemulihan ke atas dua OKT ini," katanya.

Aisyah berkata OKT tersebut merupakan antara lapan orang yang ditahan menerusi Ops Cegah semalam di bawah seliaan Pegawai Penyiasat AADK Sandakan, Nguil A/K Inggong melibatkan kawasan sekitar daerah Sandakan termasuk Kinabatangan, Tongod dan Beluran.

Beliau berkata kesemua mereka telah ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan 1983, Pindaan 1998.

“Mahkamah Majestrit Sandakan turut menetapkan tempoh tahanan reman selama 14 hari terhadap semua OKT,” katanya.

Aisyah dalam pada itu berkata, pihaknya turut melaksanakan Ops Cegah sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan.

Beliau memberitahu sepanjang tempoh tersebut di mana seramai 29 OKT telah ditahan termasuk lapan kes daripadanya yang ditahan kelmarin.

"OKT berusia lingkungan 19 hingga 50 tahun itu ditahan hasil aduan orang ramai dan risikan selama dua minggu.

 "Ini jumlah tangkapan minima yang kita lakukan kerana kekangan yang semua sedia maklum dan pematuhan SOP yang digariskan KKM.

"Kita percaya banyak lagi kes aduan akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat," tegasnya.

 Beliau juga berharap masyarakat terus menyalurkan maklumat yang tepat berkaitan permasalahan dadah di kawasan mereka.

Aisyah menjelaskan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bermula 18 Mac lalu hanya rondaan keselamatan dan risikan dapat dilakukan berdasarkan aduan yang diterima.

  • oleh
  • Advertisement