Anda di sini

Brunei kuat kuasa caj keluar masuk bermula 1 Ogos ini

Advertisement
 


 
LIMBANG: Negara Brunei akan menguatkuasakan Perintah Bayaran Keluar dan Bayaran Masuk, 2020 kepada pelawat luar dan rakyat negara itu bermula 1 Ogos ini.

Menurut Kementerian Kewangan dan Ekonomi Negara Brunei dalam satu kenyataan, hari ini perintah itu memberi kuasa kepada Pengawal Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Brunei untuk mengenakan caj ke atas setiap individu keluar masuk negara tersebut melalui pos-pos kawalan darat.

Katanya, pelaksanaan caj itu adalah untuk menyelaraskan bayaran dan caj-caj yang dikenakan kepada orang ramai yang keluar atau masuk melalui udara dan laut.

Melalui perintah sama juga tambahnya, caj Tol Jambatan Rasau, Kuala Belait akan dimansuhkan bermula 1 Ogos ini.

“Caj ini akan dikenakan kepada semua warganegara termasuk warganegara Brunei Darussalam yang hendak keluar dari atau masuk ke Negara Brunei Darussalam melalui pos-pos kawalan darat sama ada menggunakan kenderaan ataupun berjalan kaki (pedestrian) dengan kadar caj sebanyak BND3.00 seorang bagi setiap satu hala perjalanan.

“Bagi perjalanan ulang alik ke Miri, Sarawak akan dikenakan BND6.00 setiap orang,” katanya hari ini.

Caj Perkhidmatan itu katanya, dikecualikan bagi kategori-kategori seperti kenderaan milik kerajaan Brunei, dan Kerajaan Luar Negara bagi tujuan rasmi; kenderaan milik Angkatan Tentera Negara Brunei, kenderaan digunakan bagi tujuan bantuan kebakaran, ambulans dan polis; dan kenderaan yang digunakan bagi tujuan pengebumian dan sebagainya.

Oleh itu bagi  mereka yang berhasrat untuk membuat perjalanan keluar dari atau masuk ke Negara Brunei Darussalam melalui pos-pos kawalan darat hendaklah mendaftar dan mengemukakan permohonan melalui Exit and Entry System (EES), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja yang boleh di-akses melalui https://login.bdnsw.gov.bn/ees.

  • oleh
  • Advertisement