Anda di sini

Jepun khuatiri lebih banyak kematian akibat banjir

Advertisement
 Puing berselerakan di sepanjang landasan kereta api susulan hujan lebat di Kuma, wilayah Kumamoto semalam.— Gambar AFP
MUSNAH: Puing berselerakan di sepanjang landasan kereta api susulan hujan lebat di Kuma, wilayah Kumamoto semalam.— Gambar AFP

YATSUSHIRO: Khidmat kecemasan di barat Jepun semalam mengejar masa untuk menyelamatkan penduduk yang terkandas akibat tanah runtuh dan banjir buruk, dengan sekurang-kurangnya 50 orang yang dikhuatiri maut dan hujan lebat berterusan diramalkan.

Agensi Meteorologi Jepun mengeluarkan tahap amaran kecemasan tertinggi bagi hujan lebat dan kejadian tanah runtuh di kawasan barat daya pulau Kyushu, dan hujan dijangka turun sehingga Khamis.

Jumlah kematian dalam hujan lebat yang bermula awal pagi Sabtu lepas dijangka meningkat.

Seorang pegawai di wilayah Kumamoto yang paling teruk terjejas memberitahu, 49 kini sudah disahkan mati manakala seorang lagi dikhuatiri sudah terkorban.

“Kita sedang mengejar masa,” kata seorang pegawai Kumamoto, Yutaro Hamasaki, awal pagi semalam.

“Kita belum menetapkan sebarang tarikh akhir atau masa untuk menamatkan operasi, tetapi kita benar-benar perlu mempercepatkan pencarian kita kerana masa semakin suntuk. Kita tidak akan berputus asa hingga ke akhir,” ikrar Hamasaki.

Lebih 40,000 kakitangan, termasuk anggota polis dan bomba selain pengawal pantai dan anggota tentera, dikerahkan untuk menyelamatkan orang, manakala sekitar 12 orang masih tidak dapat dikesan.

Sungai yang melimpahi tebingan telah menghanyutkan jambatan dan mengubah jalan menjadi tasik, menyebabkan kerja menyelamat hanya dapat dijalankan dengan menggunakan rakit atau helikopter.

Nobuko Murakami, 78, yang mana rumahnya musnah akibat tanah runtuh, memberitahu media tempatan: “Saya tidak dapat tidur kerana bunyi hujan memekakkan.”

“Saya sudah tinggal di sini selama lebih 50 tahun, tetapi saya tidak pernah menyaksikan hujan selebat itu.

“Saya tertanya-tanya bila saya dapat pulang ke rumah.”

Kentaro Oishi, yang memiliki perniagaan rakit di pusat peranginan mata air panas Hitoyoshi City, memberitahu khidmat kecemasan menghubunginya untuk mendapatkan bantuan dan membantu penduduk tempatan yang terkandas.

“Saya ada pengalaman berakit selama 20 tahun, tetapi saya tidak pernah termimpi saya akan mengayuh bot menerusi kota,” kata pendayung veteran itu.

“Sebenarnya, saya begitu takut pada mulanya apabila saya melihat paras air naik begitu cepat di sungai,” katanya.

Sebanyak 14 kematian adalah penghuni yang berkerusi roda di sebuah pusat penjagaan warga emas dan tidak dapat lari ke kawasan yang lebih tinggi apabila paras air naik.

Seorang penyelamat yang memeriksa pusat tersebut memberitahu NHK: “Tingkat bawah dipenuhi air dan kami tidak dapat memasukinya.”

“Ada orang yang berjaya naik ke tingkat pertama.

“Saya tidak pernah menyaksikan keadaan seperti ini dalam hidup saya.”

Merumitkan lagi usaha evakuasi adalah kebimbangan mengenai penularan koronavirus.

Berbanding banyak negara lain, pandemik tidak begitu menjejaskan Jepun, dengan jumlah kes di bawah 20,000 dan kurang daripada 1,000 kematian.

Namun keperluan untuk mengamalkan penjarakan sosial mengurangkan kapasiti di pusat evakuasi dengan ratusan ribu orang di bawah perintah tidak wajib untuk mencari perlindungan.

Di kota Yatsushiro, pihak berkuasa mengubah gimnasium sukan tempatan menjadi pusat perlindungan, dengan keluarga yang dipisahkan dinding kadbod untuk mencegah penularan virus.

Menurut media tempatan, ada penduduk yang lebih suka tidur di dalam kereta daripada menghadapi risiko jangkitan di pusat perlindungan.

Bagi segelintir pemilik perniagaan tempatan yang sudahpun terjejas teruk akibat krisis COVID-19, bencana alam memburukkan lagi masalah mereka.

Yuji Hashimoto, yang mengusahakan biro pelancongan di pusat peranginan mata air panas, Yatsushiro, salah sebuah bandar yang dilanda banjir di Kumamoto, memberitahu, tempat pelancongan yang cantik berubah dengan dramatik dalam sekelip mata.

“Kerosakan melangkaui imaginasi kami dan amat mengejutkan.

“Bencana ini adalah tamparan kedua kerana pusat peranginan mata air panas kami mengalami masalah untuk menangani impak COVID-19.

“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya,” katanya.

Jepun sedang mengalami musim hujan tahunan, yang kerap menyebabkan tanah runtuh dan banjir bahaya.

Pada 2018, lebih 200 orang terkorban dalam banjir buruk di wilayah Jepun yang sama. — AFP

Advertisement