Anda di sini

Anggota polis berdepan tiga pertuduhan rasuah

Advertisement
 Tertuduh semasa meninggalkan kamar perbicaraan di Mahkamah Kota Kinabalu.
KELUAR: Tertuduh semasa meninggalkan kamar perbicaraan di Mahkamah Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Seorang anggota polis berpangkat koperal berdepan tiga pertuduhan salah laku rasuah membabitkan nilai RM3,200.

Margani Arpah, 55, yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menghadapi pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat.

Pada pertuduhan pertama, dia didakwa meminta RM2,000 daripada Anisa Hassan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap anak saudara serta rakannya yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali jumlah rasuah yang diterima atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Margani didakwa menerima masing-masing RM900 dan RM300 dari orang sama untuk tujuan sama.

Ketiga-tiga pertuduhan berlaku di Pondok Polis Warisan Square di sini antara jam 5 hingga 6.26 petang pada 22 Ogos 2018.

Dalam prosiding itu, Pegawai Pendakwa Clementine Severinus dari SPRM menawarkan jaminan RM10,000 dengan penjamin tempatan dan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM dua bulan sekali dan pasport disimpan oleh mahkamah.

Margani yang tidak diwakili meminta agar jumlah jaminan dikurangkan pada jumlah minimum dengan alasan dia mempunyai tujuh orang anak berumur 12 hingga 27 tahun serta seorang isteri yang tidak bekerja.

Dia juga memberitahu masih berkhidmat sebagai seorang anggota polis dan dia juga sepatutnya menunaikan ibadah haji pada Mac lalu bagaimanapun ditunda berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mahkamah kemudiannya menetapkan 25 Ogos depan sebagai pra-perbicaraan kes dan membenarkan tertuduh dibebaskan dengan penjamin tempatan sementara menunggu kes selesai.

Tertuduh juga perlu melaporkan diri setiap dua bulan di Pejabat SPRM dan pasport akan disita pihak mahkamah bagaimanapun tertuduh boleh memohon pengecualian tahanan pasport untuk tujuan umrah dengan mengemukakan dokumen berkaitan.

  • oleh
  • Advertisement