Anda di sini

Piala Borneo KDM Malaysia 2020 mula September atau Oktober

Advertisement
 Peter (depan dua dari kanan) memegang piala yang ditawarkan untuk Piala Borneo KDM Malaysia 2020 semasa sidang medai di pejabat SAFA di Kota Kinabalu kelmarin. Turut bersama ialah jawatankuasa penganjur dan AMT KDM Malaysia.
HADIAH: Peter (depan dua dari kanan) memegang piala yang ditawarkan untuk Piala Borneo KDM Malaysia 2020 semasa sidang medai di pejabat SAFA di Kota Kinabalu kelmarin. Turut bersama ialah jawatankuasa penganjur dan AMT KDM Malaysia.

KOTA KINABALU: Kejohanan Bola Sepak Piala Borneo KDM Malaysia 2020 bakal menjadi medan persaingan utama bola sepak di kepulauan Borneo.

Kejohanan anjuran Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) itu akan bermula pada September atau selewat-lewatnya Oktober 2020.

Presiden KDM Malaysia, Datuk Peter Anthony berkata kejohanan itu adalah kesinambungan kepada Liga KDM Malaysia yang telah dua edisi dilangsungkan iaitu pada 2014-2015 dan 2018-2019.

"Kejohanan ini adalah kesinambungan kepada Liga KDM Malaysia tetapi pada skala yang lebih besar. Kalau sebelum ini Liga KDM Malaysia hanya melibatkan pasukan-pasukan tempatan Sabah tetapi untuk Piala Borneo KDM Malaysia ini, ianya terbuka kepada pasukan-pasukan di seluruh Borneo.

"Piala Borneo KDM Malaysia ini juga adalah lanjutan kepada idea penganjuran Piala Borneo yang sepatutnya kita anjurkan pada awal tahun ini tetapi tergendala disebabkan krisis COVID-19," kata Peter yang juga Presiden SAFA dalam sidang media di pejabat SAFA di sini.

Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berkata, Piala Borneo KDM Malaysia 2020 akan mempertandingkan saingan liga dan Piala FA sebagai saingan utama.

Saingan Liga Piala Borneo menawarkan hadiah wang tunai  RM150,000 untuk juara, naib juara RM80,000, ketiga RM50,000 dan keempat RM30,000.

Piala FA pula menawarkan hadiah wang tunai RM50,000 untuk juara dan kedua RM20,000.

Pasukan hanya dikenakan wang cagaran sebagai komitmen penyertaan sebanyak RM5,000 dan akan bekalkan satu set jersi.

''Kita akan mula membuka penyertaan dalam tempoh terdekat ini dan selepas menerima penyertaan, kita akan mulakan kejohanan itu sama ada pada September atau Oktober,'' kata Peter.

Beliau berkata, penyertaan adalah terbuka bukan sahaja kepada pasukan tempatan Sabah tetapi  pasukan dari Kalimatan, Brunei dan Sarawak juga dialu-alukan.

Menurutnya, sudah ada beberapa pasukan dari negeri dan negara jiran itu yang memberikan respon positif.

''Kejohanan Liga KDM Malaysia yang kita anjurkan sebelum ini bukan sahaja mendapat sambutan yang sangat baik tetapi telah mebuahkan hasil terutama dalam melahirkan pemain-pemain berpotensi. Oleh sebab itu kita mahu meneruskan kesinambungan itu.

''Sukan bola sepak sangat dekat di hati saya dan oleh sebab itu saya memutuskan untuk menganjurkan Piala Borneo KDM Malaysia untuk menghidupkan semula bola sepak yang telah senyap sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan Mac lalu," katanya.

Katanya lagi, format pertandingan akan diumumkan berdasarkan jumlah pasukan yang menyertainya.

''Sekiranya ada 16 pasukan yang bertanding, kita akan bahagikan kepada empat kumpulan dan jika lebih kita akan putuskan nanti jumlah kumpulan,'' katanya.

Dalam pada itu, Peter berkata, walaupun kejohanan itu terbuka kepada semua pasukan, setiap pasukan yang ingin menyertainya akan ditapis terlebih dahulu bagi memastikan kejohanan itu berkualiti dan disertai pasukan yang berkemampuan menamatkan saingan.

''Selain itu, kita juga putuskan hanya tiga bekas pemain negeri yang boleh beraksi dalam satu-satu pasukan bagi membolehkan kejohanan berlangsung dengan lebih sengit.

''Kita tidak mahu jika ada pasukan membariskan ramai bekas pemain negeri, walaupun ia bukanlah jaminan untuk mereka menang tetapi kita mahu setiap pasukan mampu memberikan saingan,'' katanya.

Semua venue perlawanan juga hanya di Sabah walaupun ada penyertaan dari luar negeri.

  • oleh
  • Advertisement