Anda di sini

Mourinho balas sindiran Arsenal selepas Tottenham tewas di Sheffield United

Advertisement
JOSE MOURINHO
JOSE MOURINHO

LONDON, England: Pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho, membalas sindiran Arsenal selepas Tottenham tewas di Sheffield United di media sosial dengan berkata “anda hanya meraikan masalah orang lain apabila anda sendiri dalam masalah”.

Spurs tewas 1-3 di Sheffield United pada Khamis minggu lepas, beberapa hari selepas Arsenal menewaskan Sheffield United 2-1 untuk melangkah ke peringkat separuh akhir Piala FA Inggeris.

Arsenal menyindir kelab jirannya itu di laman sosial Facebook apabila mengeluarkan kapsyen bertulis “Ia bukan mudah menewaskan Sheffield United di Bramall Lane.”

Satu tempoh tiga kemenangan berturut-turut membolehkan Arsenal kini empat mata di hadapan Tottenham, yang bermain lewat menentang Everton dalam Liga Perdana Inggeris.

Kedua-dua akan bertemu dalam liga pada 12 Julai dan Mourinho berharap untuk membalas dendam dalam padang.

“Saya fikir jika mereka berada di tangga teratas atau bersaing untuk empat tangga teratas, mereka sudah tentunya tidak akan gembira dengan masalah orang lain. Anda hanya gembira dengan masalah orang lain apabila anda sendiri dalam masalah,” kata Mourinho.

“Pada akhirnya, ia menunjukkan sesuatu tentang mereka. Mereka tidak mempunyai banyak untuk diraikan, mereka harus mencari peluang untuk melakukannya. Mereka berada dalam situasi yang sama seperti kami dalam liga.

“Saya tidak suka mengaitkan kelab dengan beberapa muat naik atau ciapan. Mungkin saya salah, mungkin saya betul tetapi orang yang melakukannya mungkin melakukannya untuk diri mereka sendiri. Saya tidak percaya (pengurus Arsenal, Mike) Arteta menulisnya, saya tidak percaya (Granit) Xhaka atau kapten lain menulisnya.

“Ia mungkin seseorang yang berada di rumah selama tiga bulan bekerja dari rumah. Tiada masalah di rumah, tetapi kami akan menanti mereka.”

Arsenal dan Spurs mempunyai tugas sukar untuk berada di empat tangga teratas liga atau di tempat kelima jika rayuan Manchester City terhadap penggantungan dua tahun dari bola sepak Eropah tidak diterima.

Spurs menamatkan saingan liga di hadapan Arsenal untuk tiga musim terakhir selepas 22 tahun gagal melakukannya.

Mourinho berkata menamatkan saingan di hadapan Arsenal sememangnya menarik tetapi ia bukan seharusnya menjadi sasaran pasukannya.

“Untuk menjadi juara di utara London tidak memberi sebarang makna bagi saya kerana saya fikir anda harus mempunyai sasaran yang lebih besar dari itu.

“Tetapi saya sentiasa melihat pesaing kelab saya dengan pandangan berbeza. Seperti yang anda tahu, saya sudah berada di begitu banyak kelab besar dengan begitu banyak saingan istimewa, jadi saya tidak merahsiakan bahawa Arsenal juga mempunyai saingan istimewa sebab mereka adalah kelab jiran.

“Ya, saya mahu kami menamatkan musim di kedudukan lebih baik dalam liga tetapi sekali lagi, saya mahu pasukan saya menjadi lebih besar dari itu.” — AFP

Advertisement