Anda di sini

Mane bantu Liverpool kekalkan buruan cipta rekod baharu

Advertisement
 Mane (kanan) cuba merampas bola dari pemain Aston Villa Anwar El Ghazi (tengah) pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Liverpool dan Aston Villa di Anfield Liverpool,  England kelmarin. — Gambar AFP
SENGIT: Mane (kanan) cuba merampas bola dari pemain Aston Villa Anwar El Ghazi (tengah) pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Liverpool dan Aston Villa di Anfield Liverpool, England kelmarin. — Gambar AFP

LONDON, England: Sadio Mane membantu Liverpool mengekalkan buruan mencipta rekod baharu mata dalam Liga Perdana Inggeris sebagai juara liga selepas menewaskan Aston Villa 2-0 untuk mengembalikan kelebihan 23 mata di singgahsana liga berbanding Manchester City, yang tewas mengejut di Southampton pada Ahad.

Hanya beberapa hari selepas City membelasah Liverpool 4-0 pada satu perlawanan yang tidak penting selepas Liverpool mengesahkan kejuaraan liga beberapa hari sebelum itu, kedua-dua pasukan menunjukkan kenapa ada jurang mereka ketika Liverpool memenangi kejuaraan liga yang pertama mereka dalam tempoh 30 tahun dengan mudah.

Liverpool bagaimanapun tidak beraksi di tahap terbaik mereka pada perlawanan pertama sebagai juara liga di Anfield tetapi masih mampu mengutip tiga mata penuh seperti yang biasa mereka lakukan pada musim ini pada 20 minit terakhir permainan.

Mane memecah kebuntuan dengan menembusi benteng kebal Villa dari umpanan Naby Keita untuk gol ke-20 beliau musim ini sebelum pemain gantian, Curtis Jones melengkapkan hujung minggu bermakna selepas pemain berusia 19 tahun itu menandatangani kontrak baharu lima tahun di kelab pada Sabtu lepas.

Kemenangan memastikan Liverpool mengumpul 89 mata dan hanya memerlukan empat kemenangan dari baki lima perlawanan untuk mengatasi rekod City yang mengumpul 100 mata apabila muncul juara liga pada musim 2017/2018.

“Kami berada di kedudukan kami sekarang kerana kami memenangi perlawanan sukar,” kata pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.

“Ia bukan aksi terbaik dari pasukan tetapi ia adalah prestasi yang memastikan kami memperolehi tiga mata penuh.”

Villa kekal dalam zon penyingkiran, satu mata dari zon selamat ketika terus berusaha untuk mengelak kembali ke Liga Kejuaraan hanya selepas satu musim.

Berbeza dengan City, satu lagi penguasaan permainan mereka tidak memberikan sebarang ganjaran apabila tewas kepada gol cantik Southampton yang dijaringkan Che Adams.

City menguasai 74 peratus permainan dan mempunyai 26 cubaan ke pintu gol namun gagal menembusi pintu gol yang dijaga Alex McCarthy, dengan cubaan Fernandinho terkena palang dan Gabriel Jesus, David Silva dan Bernardo Silva mensia-siakan peluang terbaik mereka.

“Ia kelihatan seperti senario yang sama musim ini – satu kesilapan dan mereka menghukum kami,” kata pengurus City, Pep Guardiola. “Kami bermain dengan sangat bagus tetapi ia tidak memadai.”

Di kelompok bawahan liga, West Ham semakin hampir untuk mengelak penyingkiran walaupun mensia-siakan dua kali pendahuluan gol sebelum seri 2-2 di Newcastle United.

Selepas mengejutkan Chelsea pada pertengahan minggu, West Ham membuka jaringan seawal minit keempat perlawanan di St James’ Park menerusi gol Michail Antonio selepas penjaga gol Jamaal Lascelles gagal menangkap kemas hantaran lintang Jarrod Bowen.

Newcastle mengikat kedudukan pada minit ke-17 apabila Miguel Almiron menyempurnakan umpanan Allan Saint-Maximin.

Tomas Soucek meletakkan West Ham kembali di hadapan apabila menanduk satu tendangan sudut Declan Rice tetapi Newcastle mengikat kedudukan seminit selepas itu apabila Jonjo Shelvey melepasi perangkap ofsaid untuk menyempurnakan hantaran Dwight Gayle dari jarak dekat.

Keputusan seri itu menyaksikan West Ham kini empat mata di atas zon penyingkiran dengan baki lima perlawanan musim ini.

Pada perlawanan lain, Sheffield United seri 1-1 dengan Burnley di tempat lawan.

Satu mata meletakkan Sheffield kekal di tangga kelapan, yang sudah memadai untuk kelayakan ke Liga Europa musim hadapan jika rayuan City untuk menarik balik penggantungan dua tahun beraksi di Eropah tidak diterima mahkamah rayuan sementara Burnley naik ke tangga kesembilan liga, dua mata di belakang Sheffield. — AFP