Anda di sini

Bottas juara F1 musim pembukaan 2020

Advertisement
 Bottas memandu jentera pada perlumbaan Grand Prix Formula Satu Austria kelmarin di Spielberg, Austria. — Gambar AFP
KEKAL TENANG: Bottas memandu jentera pada perlumbaan Grand Prix Formula Satu Austria kelmarin di Spielberg, Austria. — Gambar AFP

SPIELBERG, Austria: Pemandu pasukan Mercedes, Valtteri Bottas tetap tenang pada perlumbaan tegang pada Ahad untuk memenangi perlumbaan pembukaan musim Formula Satu (F1) 2020, yang bermula dengan penuh drama.

Tujuh bulan selepas perlumbaan terakhir pada 2019, Bottas, yang bermula di petak pertama buat kali ke-12 dalam kerjayanya, mendahului perlumbaan dari awal sehingga ke akhir untuk mengatasi rakan sepasukan yang juga juara enam kali, Lewis Hamilton.

Hamilton mengharungi hari yang malang apabila didenda potong lima saat semasa perlumbaan dan juga disingkirkan ke tangga keempat di belakang Charles Leclerc dari pasukan Ferrari yang menduduki tempat kedua sementara Lando Norris dari pasukan McLaren menduduki tempat ketiga untuk podium sulung dalam kerjayanya.

Hamilton, yang turut didenda digugurkan dari petak kedua ke petak kelima sebelum perlumbaan, berlanggar dengan pemandu Red Bull, Alex Albon pada akhir perlumbaan, menyebabkan beliau terbabas sedikit dari litar.

“Ada banyak tekanan ke atas saya,” kata Bottas, yang bercakap kepada wartawan dengan memakai pelitup muka selepas perlumbaan.

“Sekali kereta keselamatan masuk dalam OK, tetapi kemudian masuk lagi dan sekali lagi, Lewis sangat pantas tetapi saya dapat mengawal perlumbaan,” kata Bottas.

Leclerc mengakui keputusan akhir adalah kejutan selepas prestasi hambar Ferrari dalam sesi latihan bebas dan kelayakan.

“Saya tidak menjangkakannya – ia satu kejutan besar tetapi yang pasti sangat bagus. Kami melakukan segala-galanya dengan sempurna untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua.”

Norris  berkata: “Saya tidak mempunyai kata-kata – ada beberapa perkara yang saya fikir saya perlu elak. Saya berasa sangat bangga dengan pasukan kerana kembali dari kedudukan kami beberapa tahun yang lalu.”

Dalam satu perlumbaan di mana tiga kali Kereta Keselamatan dimasukkan, berlangsung tanpa penonton di Litar Red Bull Ring, pemandu yang bakal ke Ferrari musim hadapan, Carlos Sainz, menamatkan perlumbaan di tempat kelima untuk pasukan McLaren, di hadapan Sergio Perez dari Racing Point.

Pierre Gasly menamatkan saingan di tempat keenam untuk pasukan Alpha Tauri dan Esteban Ocon di tempat lapan bersama pasukan Renault, di hadapan Antonio Giovinazzi dari Alfa Romeo dan Sebastian Vettel, pada musim terakhirnya bersama Ferrari, berada di tempat ke-10.

Sebelum perlumbaan, ada juga drama apabila enam dari 20 pemandu F1 memilih untuk tidak melakukan isyarat protes melutut sebelah kaki untuk menentang isu perkauman.

Hamilton memakai kemeja t ‘Black Lives Matter’ sementara pemandu lain, yang semua berbaris bersama beliau di hadapan grid perlumbaan, dilihat memakai topi bertulis “Tamatkan Perkauman”.

Leclerc dan pemandu Red Bull, Max Verstappen, memastikan ada percanggahan pandangan di kalangan pemandu F1 apabila berkata mereka tidak akan melutut tetapi tetap komited menentang perkauman.

Carlos Sainz, Danil Kvyat, Antonio Giovinazzi dan Kimi Raikkonen, juga antara pemandu yang tidak melutut.

Perlumbaan bermula pada hari yang cerah di Pergunungan Styrian dan selepas bantahan dari pasukan Red Bull, Hamilton digugurkan ke petak kelima dari petak kedua, memastikan Bottas memulakan perlumbaan dengan lebih tenang.

Beliau berjaya menjarakkan kedudukan dari Verstappen dan Norris dalam masa yang singkat.

Hamilton, bersemangat dengan hukuman kerana tidak mengendahkan bendera kuning semasa sesi ujian kelayakan Q3 pada Sabtu, berjaya menemui rentak dan menjelang pusingan ke-10, beliau melonjak ke kedudukan ketiga, 10 saat di belakang Bottas dan tujuh saat di belakang Verstappen.

Selepas satu pusingan kemudian, Verstappen kelihatan memperlahankan kereta dengan masalah enjin, membolehkan Hamilton memintasnya.

“Saya tidak pasti apa yang berlaku,” kata Verstappen selepas menamatkan perlumbaan lebih awal.

“Saya fikir kami boleh menduduki tempat kedua atau ketiga dengan mudah tetapi malangnya ia tidak berlaku.”

Selepas 217 hari dari perlumbaan terakhir, banyak pasukan bergelut dengan daya tahan enjin dan ia jelas dilihat apabila beberapa kereta mengalami kerosakan, menyebabkan Kereta Keselamatan dimasukkan sebanyak tiga kali.

Kali pertama ialah apabila Vettel berlanggar dengan Sainz menyebabkan Vettel tercicir ke kedudukan ke-15 sementara Sainz mengekalkan kedudukan di tempat ketujuh.

Kereta Keselamatan dimasukkan untuk kali kedua apabila Romain Grosjean terbabas dari litar dan juga kereta dipandu George Russel dari pasukan Williams terhenti dalam litar.

Dengan berbaki 17 pusingan, satu lagi kemalangan melibatkan Raikkonen menyebabkan Kereta Keselamatan dimasukkan untuk kali ketiga.

Dengan berbaki 10 pusingan, Bottas terus mendahului perlumbaan dan Albon cuba memintas Hamilton tetapi sama seperti d Brazil tahun lepas, kedua-dua pemandu berlanggar menyebabkan Albon terbabas sedikit dari litar dan kembali semula perlumbaan di kedudukan ke-13.

Pegawai perlumbaan mendenda Hamilton potong  lima saat, menyebabkan beliau terpaksa akur dengan keputusan rasmi di tempat keempat. — AFP

Advertisement