Anda di sini

Banjir maut menjejaskan barat Jepun

Advertisement
 Sebatang jalan terputus akibat banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan hujan lebat dekat sungai Kuma di Ashikita, Kumamoto semalam. — Gambar AFP
MUSNAH: Sebatang jalan terputus akibat banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan hujan lebat dekat sungai Kuma di Ashikita, Kumamoto semalam. — Gambar AFP

TOKYO: Para pekerja penyelamat di Jepun semalam memeriksa kawasan rumah yang musnah akibat banjir teruk dan tanah runtuh dalam satu usaha pencarian terdesak bagi mangsa yang masih hidup ketika angka kematian meningkat dan hujan lebat yang masih melanda.

Sekurang-kurangnya 36 orang dikhuatiri meninggal dunia selepas hujan yang mengatasi rekod melanda beberapa kawasan di barat Jepun awal pagi Sabtu, menyebabkan sungai-sungai melimpahi tebing dan membanjiri kawasan tanah rendah.

“Pekerja penyelamat meneruskan tanpa mengenal penat lelah pencarian pada pagi ini,” jurucakap bagi wilayah barat Kumamoto memberitahu AFP, dengan sekurang-kurangnya 11 orang yang masih belum diketahui nasibnya.

Walaupun hujan yang berkurangan dari paras tingginya, banjir telah menenggelami jalan raya dan jambatan, menyebabkan ramai yang berada di kawasan terpencil telah terputus hubungan.

Hirokazu Kosaki, 75, seorang pemandu bas di pekan Ashikita, memberitahu media Jiji: “Tiada apa-apa kecuali hanya air yang dapat saya lihat.”

Di sebuah kawasan yang teruk terjejas, penduduk  menulis perkataan “beras, air, SOS” di atas tanah, sementara beberapa orang lagi melambai-lambaikan tuala memanggil untuk diselamatkan dan barangan bantuan.

Di sebuah rumah penjagaan bagi warga emas, 14 orang telah dikhuatiri meninggal dunia apabila air dari sebatang sungai berhampiran membanjiri  tingkat bawah, menyebabkan mereka yang menggunakan kerusi roda tidak dapat pergi ke tempat yang tinggi.

Perkhidmatan kecemasan, dibantu penduduk tempatan yang menggunakan rakit, berjaya untuk menyelamatkan kira-kira 50 kakitangan dan penghuni fasiliti tersebut, membawa mereka ke tempat yang selamat dengan menaiki bot.

Hujan lebat dijangka berterusan sehingga tengah hari Selasa dan Agensi Meteorologi Jepun telah mengemukakan satu arahan pemindahan bukan wajib bagi ratusan ribu penduduk di Kumamoto dan daerah berhampiran Kagoshima Prefecture.

Hujan sehingga lebih 250 milimeter dijangka akan berlaku dalam tempoh 24 jam sepanjang pagi Selasa di bahagian selatan Pulau Kyushu, yang termasuk kawasan yang dilanda teruk oleh banjir, kata agensi itu.

“Keadaan sangat teruk,” seorang penduduk Hirotoshi Nishi memberitahu pihak penyiaran awam NHK ketika beliau menyapu kotoran dari bilik depannya yang kotor dengan lumpur.

“Banyak cebisan kayu yang masuk ke dalam rumah, saya tidak tahu apa yang harus dilakukan.”

Usaha pemindahan telah terjejas akibat kebimbangan bagi penyebaran koronavirus COVID-19 yang telah meragut hampir 1,000 mangsa di Jepun, dengan hampir 20,000 kes.

Petak-petak telah disediakan di pusat pemindahan sementara bagi memastikan jarak di antara keluarga dan mereka diarahkan agar kerap mencuci tangan mereka, sanitasi dan menggunakan pelitup muka.

Pegawai tempatan memberitahu AFP bahawa 13 orang telah disahkan meninggal dunia akibat banjir sementara seramai 17 orang lagi berada dalam keadaan masalah pernafasan kardio, satu perkataan yang sering digunakan di Jepun sebelum seorang doktor mengesahkan secara rasmi kematian.

Kira-kira 4,640 rumah di Kumamoto masih dalam keadaan tanpa bekalan elektrik sehingga pagi semalam, menurut kepada Kyushu Electric Power Co.

Perdana Menteri Shinzo Abe menyatakan kelmarin bahawa lebih 40,000 kakitangan dari jabatan polis dan bomba, pengawal pantai dan anggota tentera akan melakukan operasi mencari dan menyelamat sehingga malam. — AFP

Advertisement