Anda di sini

Sukan basikal jadi fenomena baharu

Advertisement
 Peserta program kayuhan santai 'Sunday MTB Ride' di hadapan Surau Darul Islam Kampung Bandong, Jalan Bandong, Sibu semalam.
KAYUHAN SANTAI: Peserta program kayuhan santai 'Sunday MTB Ride' di hadapan Surau Darul Islam Kampung Bandong, Jalan Bandong, Sibu semalam.

SIBU: Sukan berbasikal mula menjadi fenomena baharu kalangan belia di Sibu hari ini.

Ini terbukti apabila lebih 50 orang belia mengambil bahagian pada program kayuhan santai 'Sunday MTB Ride' di sini seawal jam 6 pagi semalam.

Program atas inisiatif belia di Sibu itu bermula dari Surau Darul Islam Kampung Bandong di sini membabitkan kayuhan sejauh 20 kilometer.

Jurucakapnya, Abdul Taib Rosli berkata belia di Sibu mula memilih sukan berbasikal sebagai riadah baharu dan menjadikan sukan itu sebagai lambang penyatuan belia di sini.

"Apa yang kita dapat lihat penyatuan golongan belia Sibu terutamanya program kayuhan santai ini dengan adanya penglibatan pelbagai pihak dari pelbagai latar belakang.

"Secara peribadi saya terlibat secara tidak langsung aktiviti ini merasakan kesatuan dan kesefahaman tinggi kalangan belia yang turut serta," katanya di sini semalam.

Abdul Taib menambah, kumpulan belia terbabit merancang agar aktiviti tersebut diteruskan dengan perancangan lebih rapi.

"Mereka akan mengadakan kayuhan itu setiap minggu atau paling tidak sebulan sekali," katanya.

Sementara itu, peserta mengayuh basikal melalui Jambatan Batang Igan, bulatan ke arah Tutus, feri Tanjung Malim, Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa II dan sekitar Kampung Datu Lama dan Kampung Hilir.

Walaupun berkumpulan, arahan dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) turut dipatuhi di mana jarak sebuah basikal dengan basikal lain lebih kurang satu hingga tiga meter.

"Semua peserta diberi taklimat keselamatan dan SOP (Prosedur Operasi Standard) kayuhan. Peserta juga mengamalkan pengelakan 3S iaitu Sesak, Sempit dan Sembang Berdekatan," jelasnya.

Program itu turut disertai oleh Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Nangka, Kaunselor Mohd Izkandar Abdullah.