Anda di sini

Remaja dihantar ke Sekolah Henry Gurney kerana dadah

Advertisement
 

KUCHING: Seorang remaja berusia 18 tahun diarahkan oleh Mahkamah Majistret untuk dihantar ke Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo sehingga dia mencapai umur 21 tahun hari ini atas kesalahan memiliki dadah jenis syabu.

Majistret Mohd Syukri Mokhtar menjatuhkan hukuman tersebut mengikut Seksyen 293(1)(d) Kanun Tatacara Jenayah terhadap pesalah muda tersebut setelah mendengar laporan sosial dan meneliti cadangan yang dikemukakan oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Dalam menjaga hubungan antara bapa dan tertuduh, ibu bapa pesalah muda tersebut hendaklah mengunjunginya dua bulan sekali di Sekolah Henry Gurney dengan jaminan RM2,000 tanpa deposit dan seorang penjamin,” ujar Syukri semasa menjatuhkan hukum.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan memiliki 0.10 gram Syabu pada 3 Jun lalu, jam 1.20 pagi di Taman Desa Wira, sini.

Berdasarkan keterangan kes, semasa pihak polis sedang melakukan rondaan, mereka terserempak dengan tertuduh yang berada di dalam sebuah kenderaan.

Setelah melakukan pemeriksaan badan, mereka mendapati terdapat satu paket plastik berisi ketulan Kristal disyaki dadah jenis syabu di dalam poket hadapan sebelah kanan seluar tertuduh. 

Untuk perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Polis (ASP) Hisyam Junaidi manaka tertuduh tidak diwakili peguam. 
 

  • oleh
  • Advertisement