Anda di sini

Projek RM2 juta selenggara kuarters Persekutuan

Advertisement
 Samsuni (tengah) menyaksikan penyerahan SST kepada salah seorang kontraktor oleh Mohd Hamdani.
SAKSI: Samsuni (tengah) menyaksikan penyerahan SST kepada salah seorang kontraktor oleh Mohd Hamdani.

KOTA KINABALU: Pelaksanaan projek penyelenggaraan kuarters Persekutuan bernilai RM2 juta memberi keselesaan kepada lebih 1,200 penghuni.

Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Samsuni Mohd Nor berkata, lapan daripada pakej berkenaan melibatkan tiga daerah iaitu Keningau, Kudat dan Kota Kinabalu untuk memberi kediaman yang kondusif kepada para penghuni dan akan siap pada November ini. 

"Di Sabah, kita mempunyai 10 kuarters dengan 501 unit kuarters di daerah Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Kudat dan Keningau merangkumi lebih 1,200 penjawat awam Persekutuan. 

"Bagaimanapun, setiap kuarters hanya diperuntukkan kepada penjawat awam sahaja berdasarkan kelayakan gred.

"Kerja-kerja penyelenggaran yang dimaksudkan termasuk membaik pulih sistem pendawaian, elektrikal, sivil dan sebagainya tetapi kita memberi tumpuan kepada kediaman yang uzur di tiga daerah yang disasarkan.

"Bagi lapan pakej ini, lapan kontraktor telah dilantik di mana kerja-kerja telah pun bermula dan akan siap pada November ini merangkumi nilai RM1.95 juta.

"Manakala, dua pakej lagi kini dalam proses akhir penilaian pemilihan kontraktor," katanya kepada media selepas menyaksikan penyerahan Surat Setuju Terima (SST) kepada lapan kontraktor yang dilantik oleh Pasukan Projek Khas 2 dan Pejabat Pembangunan Negeri Sabah di pejabatnya.

Hadir sama Jurutera Awam Penguasa Ir. Patrick Basun dan Timbalan Pengarah Pejabat pembangunan Negeri Mohd Hamdani Sahari.

Samsuni berkata, kerja penyelenggaraan diagihkan kepada dua pelaksana iaitu di bawah Pejabat Persekutuan Sabah dan Pasukan Projek II Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Terdapat lima pakej di bawah Pejabat Persekutuan Sabah bernilai RM1.12 juta manakala tiga pakej diberikan kepada Pasukan Projek 2 Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan nilai RM441 juta," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa para kontraktor yang dilantik agar dapat menjalankan tanggunjawab dengan integriti dan meyiapkan projek dalam tempoh yang ditetapkan.

"Dengan adanya kerjasama erat, kita akan menyelaras dan berkolaboratif dengan kedua-dua agensi pelaksana serta berharap kontraktor dapat menepati masa yang telah ditetapkan.

"Mereka (kontraktor) juga perlu bersyukur kerana mereka terpilih daripada ratusan pemohon, jadi mereka haruslah berintegriti dan mempamerkan hasil kerja yang berkualiti," katanya.

Sabah menerima peruntukan tambahan berjumlah RM2 juta berkenaan di bawah Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) sejak diumum Perdana Menteri pada 27 Mac lalu. - Penerangan

Advertisement