Anda di sini

Lelaki kebas emas berputih mata, tertangkap selepas jatuh motosikal

Advertisement
Suspek berjaya diberkas orang ramai. - Gambar Facebook/Noa Nuraini
Suspek berjaya diberkas orang ramai. - Gambar Facebook/Noa Nuraini


KUCHING: Cubaan seorang lelaki mencuri emas gagal apabila dia terjatuh dari motosikal ketika melarikan diri dalam satu kejadian di Batu Tujuh, Kota Sentosa, hari ini. 

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan berkata, kejadian sekitar 2.30 petang itu berlaku selepas pemilik kedai, 30, didatangi suspek yang menyamar sebagai pelanggan.

Katanya, suspek, 43, cuba melarikan diri bersama barangan kemas namun berjaya dikejar lalu ditangkap oleh pemilik kedai bersama rakannya. 

"Suspek berpura-pura bertanya dan cuba memakai seutas rantai tangan emas di tangan suspek sebelum melarikan diri menggunakan sebuah motosikal jenis serta nombor pendaftaran tidak pasti. 

"Selepas itu, mangsa telah bertindak mengejar motosikal suspek dan semasa berada tidak jauh dari kedai terbabit, motosikal suspek telah terjatuh sebelum mangsa bersama bapanya, dengan bantuan rakan mangsa, berjaya menangkap suspek," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Aidil memberitahu, semasa tangkapan dilakukan, suspek bersenjatakan pisau dan menyebabkan rakan mangsa mengalami kecederaan di betis kiri disebabkan pisau yang digunakan suspek.

Jelasnya, hasil siasatan awal, suspek telah pergi ke kedai emas bersama seorang rakan bersubahat.

"Suspek masuk ke dalam kedai dan meminta untuk mencuba rantai tangan emas manakala rakan suspek menunggu di motosikal.

"Semasa cuba melarikan diri motosikal telah terjatuh dan rakan suspek yang menunggang motosikal telah berjaya melarikan diri," katanya. 

Menurutnya lagi, suspek mengaku hendak mencuri emas dalam kedai mangsa. 

Dalam pada itu, katanya, polis turut merampas sebilah pisau dan seutas rantai tangan emas. 

Kes masih dalam siasatan.
 

  • oleh
  • Advertisement