Anda di sini

Kerajaan Sarawak tidak berhasrat untuk naikkan tarif air dan elektrik - Dr Rundi

Advertisement
 Dr Rundi (tiga kanan) menyaksikan upacara serah tugas di antara Ir Alice dan Nelson (tiga kanan) di Pejabat LAKU di Miri, hari ini.
Dr Rundi (tiga kanan) menyaksikan upacara serah tugas di antara Ir Alice dan Nelson (tiga kanan) di Pejabat LAKU di Miri, hari ini.

MIRI: Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk menaikkan sebarang tarif untuk bekalan air dan elektrik, kerana enggan menambahkan lagi bebanan dihadapi oleh rakyat negeri ini, yang kini menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ekoran pandemik COVID-19. 

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Menteri Utiliti Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom memberitahu kerajaan negeri akan mencari jalan lain sebagai penyelesaian dan bagi menambahkan pendapatan negeri. 

“Saya sedar penduduk di Semenanjung (Malaysia) bercakap mengenai tarif dan sebagainya. Namun saya mesti menegaskan di sini bahawa kami (kerajaan negeri) tidak mempunyai niat untuk menaikkan kadar atau tarif air dan elektrik di Sarawak," katanya.

Beliau menekankan bahawa kerajaan negeri memahami kesukaran yang dihadapi oleh rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan mereka yang terjejas dengan pandemik COVID-19 ini.

“Kita malah telah memberikan rebat iaitu sekitar 1.300 liter air percuma atau rebat RM5 dan baru-baru ini, dengan pandemik COVID-19, kami mengurangkannya lagi, di mana pengguna menikmati potongan 25 peratus, sementara mereka yang berada di dalam industri atau komersial dapat menikmati antara 5 hingga 25 peratus diskaun untuk bekalan elektrik dan air,” katanya sambil menambah, potongan itu adalah untuk tempoh enam bulan hingga September tahun ini. 

Ketika ditanya sama ada kerajaan negeri akan mengikut langkah Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk melanjutkan diskaun bagi bil elektrik kepada penggunanya di Semenanjung Malaysia, Dr Rundi berkata perkara itu akan diputuskan kemudian, bergantung pada situasi COVID-19 ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dalam satu kenyataan pada 2 Julai berkata, kerajaan persekutuan telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh diskaun bagi bil elektrik pengguna domestik sehingga Disember tahun ini. Sebelum itu, potongan harga adalah untuk tempoh enam bulan dari bulan Mac hingga September. 

Dalam perkembangan lain, Dr Rundi, ketika ditanya mengenai perkembangan projek pemindahan bagi pengambilan sumber air mentah dari Sungai Baram ke Sungai Bakong untuk mencari sumber baru bekalan air Miri, memberitahu projek itu masih berjalan walaupun terdapat penangguhan akibat pandemik COVID-19, baru-baru ini. 

Beliau memberitahu projek tersebut berdepan beberapa masalah seperti isu dengan pihak kontraktor selain pandemik COVID-19, yang menyumbang kepada kelewatannya sejak empat bulan lepas. 

“Bagaimanapun projek ini diharap dapat diselesaikan menjelang akhir 2021 kerana projek ini sangat kritikal dan sumber bekalan air anda (bahagian Miri) amat kritikal. Nasib baik, projek ini telah diluluskan sebelumnya," ujar beliau lagi. 

Projek berkenaan dimulakan pada April 2019, dengan kos berjumlah RM226 juta bagi penyelesaian jangka panjang untuk mengatasi masalah sumber air di bahagian Miri, ekoran sumber dari Sungai Liku yang kerap tidak mencukupi bagi menampung keperluan populasi di Miri, terutama apabila tiba musim kemarau. 

Terdahulu, Dr Rundi menyaksikan majlis serah tugas di antara bekas pengerusi LAKU Management, Datuk Ir Alice Jawan Empaling kepada pengerusi barunya, Datuk Nelson Balang Rining, yang menjawat jawatan itu berkuat kuasa 20 Februari tahun ini. 

  • oleh
  • Advertisement