Anda di sini

Dua terkorban, 16 dikhuatiri maut hujan lebat melanda Jepun

Advertisement
 Anggota polis dan anggota tentera Japan Self-Defense Forces mengendali bot boleh kembung turut serta dalam usaha operasi menyelamat di rumah penjagaan berikutan hujan lebat di perkampungan Kuma, Kumamoto, semalam. — Gambar AFP
BEKERJASAMA: Anggota polis dan anggota tentera Japan Self-Defense Forces mengendali bot boleh kembung turut serta dalam usaha operasi menyelamat di rumah penjagaan berikutan hujan lebat di perkampungan Kuma, Kumamoto, semalam. — Gambar AFP

TOKYO: Dua terkorban dan 16 lagi telah dikhuatiri meninggal dunia, menurut media tempatan semalam selepas hujan lebat di barat Jepun menyebabkan banjir dan gelongsoran lumpur besar-besaran.

Seorang wanita dan seorang lelaki dalam usia 80-an di pekan yang berlainan di wilayah barat Kumamoto telah meninggal dunia dalam kejadian gelongsoran lumpur, menurut pihak penyiaran negara NHK dan media Jepun lain, walaupun mereka tidak memberikan maklumat lain.

Seramai 16 orang lagi masih berada dalam satu keadaan “masalah pernafasan kardio”, menurut NHK, menggunakan satu perkataan yang sering digunakan di Jepun sebelum seorang doktor mengesahkan secara rasmi kematian.

Daripada mereka, 14 orang merupakan penghuni sebuah rumah penjagaan warga emas, seperti yang diumumkan oleh Gabenor Ikuo Kabashima pada Sabtu lepas.

Enam orang lagi telah hilang, menurut pihak penyiaran.

Pihak berkuasa dalam kerajaan wilayah dan pejabat perbandaran, yang telah terjejas secara langsung akibat bencana tersebut, tidak dapat mengesahkan dengan segera bagi kematian yang dilaporkan.

Namun mereka menyatakan mereka telah mengambil beberapa langkah untuk menghalang penyebaran koronavirus di pusat penempatan sementara yang disediakan di seluruh wilayah, seperti membasuh tangan dan memastikan jarak di antara keluarga.

Anggota kecemasan dan anggota tentera dari Self-Defense Forces telah berada di luar sepanjang malam mencari orang yang hilang dan menyelamatkan mereka yang terperangkap di dalam rumah mereka.

Walaupun hujan telah reda di Kumamoto pada pagi Ahad, jambatan yang runtuh dan jalan raya yang tersekat akibat banjir dan gelongsoran lumpur telah mengasingkan banyak komuniti di wilayah ini, kata NHK.

Banjir itu telah memusnahkan rumah-rumah dan menghanyutkan kenderaan, menyebabkan banyak pekan yang tenggelam di bawah air berlumpur.

Satu isyarat besar ‘SOS’ telah dilakukan di atas tanah di sebuah sekolah rendah yang dimansuhkan di bandar Yatsushiro, di mana kira-kira 10 orang melambaikan tuala putih ke arah helikopter penyelamat dan media. — AFP

Advertisement