Anda di sini

Bayern julang trofi Piala Jerman buat kali ke-20, Lewandowski lepasi 50 gol

Advertisement
 Pemain Bayern Munich menjulang trofi Piala Jerman yang dimenangi selepas perlawanan final menentang Leverkusen di Stadium Olympic di Berlin. — Gambar AFP
KALI KE-20: Pemain Bayern Munich menjulang trofi Piala Jerman yang dimenangi selepas perlawanan final menentang Leverkusen di Stadium Olympic di Berlin. — Gambar AFP

BERLIN, Jerman: Robert Lewandowski melepasi paras 50 gol musim ini ketika Bayern Munich meraih kejuaraan kedua mereka musim ini dengan membelasah Bayer Leverkusen 4-2 untuk menjulang trofi Piala Jerman buat kali ke-20 pada Sabtu.

Bayern, juara Bundesliga Jerman, menguasai perlawanan tanpa penonton di Stadium Olimpik di Berlin ketika David Alaba membuka jaringan dari satu  tendangan percuma sebelum Serge Gnabry menambah jaringan dalam separuh masa kedua.

Lewandowski sudah menjaringkan 51 gol keseluruhan musim ini selepas menjaringkan dua gol dalam separuh masa kedua, di antara gol Sven Bender untuk Leverkusen.

Kai Havertz menjaringkan gol sagu hati kedua Leverkusen dari satu tendangan penalti pada lewat permainan.

“Dalam separuh masa kedua, kami menunjukkan bahawa kami adalah pasukan yang lebih bagus dan mahu memenangi piala ini,” kata Lewandowski, yang juga dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Bayern, juara liga buat musim ketujuh berturut-turut, sudah memenangi kesemua 11 perlawanan mereka sejak musim bola sepak di Jerman disambung semula selepas dua bulan tertangguh ekoran pandemik COVID-19.

Mereka mengintai kejuaraan ketiga musim ini selepas diletakkan sebagai pilihan untuk memenangi Liga Juara-Juara, yang akan disambung semula di Lisbon, Portugal, pada bulan hadapan.

Lewandowski, penjaring terbanyak liga untuk kali kelima apabila musim liga terakhir minggu lepas, menjaringkan enam gol dalam pertandingan piala domestik, 34 gol liga dan 11 gol dalam Liga Juara-Juara.

Leverkusen melengkapkan kekalahan hatrik mereka selepas turut tewas di final pada 2002 dan 2009 dalam pertandingan ini di Berlin.

“Kami berasa sangat gembira memenangi kejuaraan kedua musim ini. Dalam separuh masa pertama, kami mengawal sepenuhnya permainan,” kata Gnabry.

Dengan suara pemain bergema dalam stadium yang kosong di mana jurulatih kebangsaan Jerman, Joachim Loew adalah antara beberapa tetamu yang hadir menyaksikan perlawanan.

“Ia agak menyedihkan,” akui pemain Bayern, Thomas Mueller, yang terkilan dengan ketiadaan penyokong selepas beliau memenangi Piala Jerman buat kali keenam dalam kerjayanya.

“Jika penyokong anda pada final seperti ini, suasananya pasti berbeza.”

Lewandowski menjaringkan gol ketiga selepas rehat untuk gol ke-50 beliau musim ini sebelum Sven Bender merapatkan kedudukan buat Leverkusen pada minit ke-64. — AFP

Advertisement