Anda di sini

Tom Hanks akui tidak tahu bila akan dapat kembali berlakon

Advertisement
 Gambar fail menunjukkan Tom Hanks dan Rita Wilson tiba untuk Anugerah Oscar di Dolby Theatre, Hollywood pada 9 Februari 2020.  — Gambar AFP
KEKAL POSITIF: Gambar fail menunjukkan Tom Hanks dan Rita Wilson tiba untuk Anugerah Oscar di Dolby Theatre, Hollywood pada 9 Februari 2020. — Gambar AFP

PELAKON Amerika Syarikat (AS) Tom Hanks baru-baru ini berkata bahawa Hollywood “tidak ada idea” bila ia dapat kembali menjalankan penerbitan, ketika dia menceritakan tentang pemulihannya sendiri selepas dijangkiti koronavirus, yang telah menutup industri perfileman.

Pemenang anugerah Oscar bagi filem-filem ‘Forrest Gump’ dan ‘Philadelphia’ itu pada Mac lalu menjadi bintang berprofil tinggi yang pertama dijangkiti COVID-19, sejurus sebelum dia dijadual memulakan penggambaran bagi sebuah biopik Elvis Presley di Australia.

“Sebagai burung kenari dalam lombong arang batu bagi pengalaman COVID-19, kami sihat - kami mempunyai simptom yang sangat tidak menyelesakan kira-kira selama 10 hari, tetapi tidak mengancam nyawa, saya gembira mengatakan,” katanya di satu sidang akhbar maya.

Hanks berkata dia dan isterinya Rita Wilson bernasib baik untuk menjadi “model bagi pemulihan daripada COVID-19” tetapi menyatakan “apa-apa sahaja” boleh berlaku.

Dengan virus yang mengganas di Amerika Syarikat - yang merekodkan lebih 126,000 kematian dan 2.6 juta kes - banyak negeri telah dikritik kerana membuka semula negeri terlalu awal.

California memberikan kebenaran untuk mengadakan penggambaran semula pada awal bulan ini, tetapi kebanyakan penerbitan besar di Hollywood terus dibekukan - satu keadaan yang Hank tidak jangka akan berubah dalam masa terdekat.

“Saya tidak ada idea bila saya akan kembali bekerja,” katanya. “Tidak ada orang yang tahu bila mereka akan kembali bekerja.

“Tetapi masa itu akan tiba, cuma kita tidak tahu bila.”

Dia menambah: “Segalanya memainkan peranan - ada kebimbangan mengenai kewangan, ada kebimbangan mengenai undang-undang, liabiliti.”

“Terdapat kebimbangan fizikal tentang ‘bagaimanakah semua orang pergi ke tempat kerja dan memasuki pentas runut yang sama, dan bekerja dalam ruang yang begitu sempit?’”

Sekarang hidup dalam pengasingan di bawah peraturan penjarakan sosial, Hanks telah melihat filem blockbuster menundakan pelancaran, dan mencari tarikh pada hujung tahun ini dan pada 2021, apabila studio berharap audiens dapat kembali semula.

Ketika Los Angeles County mengalami peningkatan jumlah kes harian baharu yang memecah rekod, Datuk Bandar Eric Garcetti mengumumkan “jeda yang sukar” dalam usaha membuka perniagaan termasuk pawagam. Pawagam juga belum lagi dibuka semula di New York dan beberapa buah bandar raya lain di AS.

Filem aksi Hanks sendiri tentang tentera laut Perang Dunia II ‘Greyhound’ tidak akan ditayangkan di skrin besar langsung, selepas Sony bersetuju untuk menjual filem itu sebagai sebuah filem eksklusif Apple TV+.

Hanks, yang menulis lakon layar dan membintangi filem tersebut, mengakui dia “patah hati” kerana filem itu tidak akan muncul di pawagam.

Tetapi dia menyifatkan perjanjian untuk menstrim filem itu, dalam talian di seluruh dunia bermula 10 Julai, sebagai “penyelamat” yang “memberi peluang kepada kita untuk mengeluarkan filem itu”.

Penerbitan filem baru-baru ini sudah disambung semula di beberapa buah negara termasuk Iceland, Korea Selatan dan New Zealand, tetapi Hanks berkata dia tidak ada garis masa untuk kembali kepada filem arahan Baz Luhrmann ‘Elvis’.

“Jawapannya ialah tidak ada orang tahu. Termasuk saya,” kata Hanks.

Dia menambah: “Tidak ada apa-apa kecuali soalan-soalan mengenai memulakan penerbitan fizikal semula. Itulah berita yang buruk.” — AFP

Advertisement