Anda di sini

Pengurusan bencana di negara ini perlu dikendalikan bersepadu

Advertisement
 Mohd Redzuan (tengah) bersama Roslan (tiga kanan) melihat acara demonstrasi menyelamat dari pasukan Angkatan Pertahanan Awam ketika tiba bagi melawat Bilik Gerakan Bencana Negeri Johor, Pejabat Daerah Pertahanan Awam Johor Bahru, semalam. — Gambar Bernama
DEMONSTRASI: Mohd Redzuan (tengah) bersama Roslan (tiga kanan) melihat acara demonstrasi menyelamat dari pasukan Angkatan Pertahanan Awam ketika tiba bagi melawat Bilik Gerakan Bencana Negeri Johor, Pejabat Daerah Pertahanan Awam Johor Bahru, semalam. — Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Pengurusan bencana di negara ini perlu dikendalikan secara bersepadu oleh semua agensi pertahanan dan keselamatan, supaya tindakan di setiap peringkat menjadi lebih efisien dan efektif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, fokus dalam penggemblengan usaha antara agensi yang terlibat, khususnya dalam penggunaan aset terkumpul dari semua agensi berkaitan perlu diutamakan, bagi melaksanakan usaha menyelamatkan nyawa secara optimum.

“Kita lebih mahu kepada penggunaan aset terkumpul. Bila sebut bencana ia diuruskan oleh NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dan kita mahu NADMA menguruskan aset  dengan lebih efisyen dengan menggunakan aset dari agensi lain yang terlibat.

“Kita mahu penggunaan aset dari semua agensi yang terlibat dalam pertahanan dan keselamatan mengumpulkan keupayaan yang ada daripada tentera, polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan kalau tidak mencukupi kita akan kaji dengan kekuatan yang ada, jadi kita boleh guna dengan efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media ketika mengadakan lawatan kerja ke Bilik Gerakan Bencana Negeri Johor, di Pejabat Daerah Pertahanan Awam Johor Bahru, di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datin Mastura Mohd Yazid, Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Roslan Wahab, dan Ketua Pengarah NADMA Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman.

Dalam perkembangan lain Mohd Redzuan berkata, pihaknya mahu melihat lebih ramai golongan sukarelawan daripada golongan orang muda, terlibat dalam memberi perkhidmatan menerusi pengurusan bencana.

“Kita hendak lihat lebih ramai sukarelawan terutama anak muda, barisan pelapis untuk menyambung tugas agensi ini.

Kita mahu mereka ke depan bantu bersama dalam usaha membantu memberi kesejahteraan kepada rakyat,” katanya.

Secara keseluruhan, sebanyak 112 aset APM Johor terdiri daripada 14 lori, ambulan (13), pacuan empat roda (10), bot Sealegs (2) dan bakinya bot pelbagai jenis, boleh digerakkan ketika operasi menyelamat dan pemindahan awal banjir. — Bernama