Anda di sini

Lebih 120,000 orang terlibat dalam pertanian bandar sejak 2014: Ronald Kiandee

Advertisement
 Ronald Kiandee (kiri) dan Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Othman Abdul Latiff menunjukkan udang harimau  yang dituai ketika melawat projek ternakan udang harimau di Sebatu, Jasin semalam. — Gambar Bernama
UDANG HARIMAU: Ronald Kiandee (kiri) dan Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Othman Abdul Latiff menunjukkan udang harimau yang dituai ketika melawat projek ternakan udang harimau di Sebatu, Jasin semalam. — Gambar Bernama

MELAKA: Seramai 124,988 orang di 5,065 lokasi terlibat dalam pelbagai program dan kategori pertanian bandar sejak pewujudan Bahagian Pertanian Bandar di Jabatan Pertanian Malaysia pada 2014 sehingga kini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata sepanjang Rancangan Malaysia ke-11 iaitu antara 2016 hingga tahun lepas, sejumlah 93,937 orang di 3,815 lokasi terlibat dalam program pertanian bandar dan daripada jumlah itu 8,010 orang adalah dari Melaka.

Beliau berkata kerajaan yakin projek pertanian bandar dapat membantu mengurangkan kos sara hidup, memberi peluang pekerjaan dan menjana pendapatan tambahan dengan tujuan membantu rakyat Malaysia khususnya yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Maka, kerajaan memperakukan peruntukan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk memberi sumbangan seperti benih, baja, infrastruktur, peralatan, khidmat nasihat dan lain-lain bernilai RM500 bagi penerima individu dan RM50,000 bagi setiap komuniti.

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyasarkan peruntukan sebanyak RM10 juta di bawah PENJANA (untuk pertanian bandar). Peruntukan ini akan memanfaatkan 800 komuniti dan 12,000 penyertaan individu baharu dalam program pertanian bandar,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas meninjau projek pertanian bandar ‘Kebuniti’ di Program Perumahan Rakyat Tehel, Bemban di sini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Kiandee berkata kerajaan memperkenalkan program pertanian bandar itu bagi menangani isu kekurangan tanah untuk pertanian, selain membolehkan rakyat menceburkan diri dalam sektor pertanian dengan menggunakan ruang sedia ada bagi pengeluaran makanan serta menjana pendapatan tambahan.

“Program seumpama ini, mampu menyokong usaha kerajaan dalam menjamin kualiti dan sekuriti makanan Negara. Penduduk Melaka juga boleh menanam dan mengeluarkan sendiri bahan makanan bagi menampung keperluan harian serta mengurangkan kos sara hidup.

“Di samping itu, ia dapat menambahkan pendapatan sampingan melalui penjualan lebihan hasil tanaman. Kerajaan memandang serius hal berkaitan kecukupan bekalan makanan serta penjanaan pendapatan tambahan kepada semua rakyat di negara ini,” katanya. — Bernama

Advertisement