Anda di sini

BBP Selangau sudah bersedia beri khidmat respons kecemasan 24 jam

Advertisement
 Balai Bomba dan Penyelamat Selangau mula beroperasi 1 Julai lalu.
SEDIA BERKHIDMAT: Balai Bomba dan Penyelamat Selangau mula beroperasi 1 Julai lalu.
MOHD SHUKRI
MOHD SHUKRI

SIBU: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau baharu yang memulakan operasi sejak 1 Julai lalu kini sudah bersedia untuk memberi perkhidmatan respons kecemasan 24 jam kepada penduduk di kawasan Selangau.

Ketua Balai Bomba BBP Selangau PBT Mohd Shukri Abdul Rahim berkata, BBP Selangau mempunyai kekuatan keanggotaan seramai 17 pegawai yang akan bertugas dalam dua syif dalam sehari.

Bagaimanapun katanya, kekuatan BBP Selangau akan ditambah dengan seramai 18 Pegawai Bomba Bantuan (PBB) pada penghujung bulan ini.

“Mereka (PBB) yang kebanyakannya tinggal di kawasan berhampiran Selangau akan ditugaskan bersama pasukan bomba sedia ada (tetap) untuk memperhebatkan kekuatan operasi kebombaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Jelasnya, pihaknya sedang memberi latihan kepada PBB terbabit untuk melengkapkan diri mereka dalam menghadapi pelbagai situasi kecemasan pada bila-bila masa.

Mohd Shukri berkata, setakat ini BBP Selangau belum lagi menerima sebarang panggilan kecemasan sejak mula beroperasi pada 1 Julai lalu.

“Persempadanan kawasan operasi di bawah BBP Selangau ialah sehingga Sungai Arip menghala ke arah Tatau dan Skim Sekuau menuju ke arah Sibu,” ujarnya sambil menambah BBP Selangau juga mempunyai sebuah jentera FRT dan dua kenderaan utiliti selain sebuah bot penyelamat.

“Buat masa ini pihak kami sedang melengkapkan peralatan jentera di samping membuat penyelenggaraan pili bomba di kawasan Selangau.

“Kami juga sedang menjalankan kajian kawasan terutamanya untuk mencatatkan jumlah rumah panjang yang ada di kawasan Selangau,” jelasnya.

Mohd Shukri berkata, kajian kawasan adalah penting kerana tidak semua rumah panjang yang telah didaftar dapat diakses melalui jalan darat disebabkan faktor geografi dan lokasi.

“Kami terpaksa memikirkan jalan akses yang terbaik sebelum pergi ke lokasi tertentu sekiranya ada berlaku kecemasan sama ada menggunakan jalan darat ataupun air (sungai),” jelasnya.

Tambah beliau, pihaknya sentiasa mengalu-alukan sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan pencegahan dan penyelamatan daripada penduduk kawasan Selangau.

Balai Bomba Selangau boleh dihubungi melalui talian kecemasan di 084-891300.

“Sekiranya diperlukan, kami di BBP Selangau sudah bersedia untuk memberi bantuan 24 jam,” tambah beliau.