Anda di sini

Wanita cuba seludup warga asing diberkas

Advertisement
Wanita bersama enam PATI ditangkap untuk siasatan lanjut.
Wanita bersama enam PATI ditangkap untuk siasatan lanjut.

LUNDU: Seorang wanita tempatan diberkas ketika cuba menyeludup keluar enam pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan 'jalan tikus' berdekatan Kampung Biawak pada Jumaat.

Jurucakap Divisyen Pertama Infantri berkata sepasukan anggota 11 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sedang menjalankan rondaan 'Op Benteng' apabila menahan sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda sekitar jam 9 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kenderaan yang dipandu wanita tempatan terbabit menumpangkan enam lelaki warga asing yang masing-masing gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah.

"Terdahulunya kenderaan mereka dikesan iaitu kira-kira satu kilomter dari Sempadan Sarawak-Kalimantan berhampiran sebuah kebun di Kampung Biawak dan kemudian ditahan untuk pemeriksaan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua warga Indonesia mempunyai passport, namun telah tamat tempoh manakala empat lagi gagal mengemukakan sebarang dokumen sah perjalanan," katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Kesemua suspek termasuk wanita tempatan terbabit kemudian ditahan dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, turut dirampas ialah telefon bimbit, wang tunai Malaysia dan Indonesia, serta sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dianggarkan bernilai RM58,913.00.

"Kita akan senantiasa berwaspada dan meningkatkan lagi kawalan keselamatan dalam menangani sebarang kejadian yang boleh menggugat keselamatan dan kedaulatan negara," tegasnya.