Anda di sini

Tiga bot nelayan dan 23 warga Thailand 'langgar kawasan' tangkap ikan ditahan

Advertisement
Tiga bot nelayan yang ditahan dalam operasi tersebut.
Tiga bot nelayan yang ditahan dalam operasi tersebut.

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak berjaya menahan tiga bot nelayan yang sedang menangkap ikan di perairan negara di kira-kira 27 batu nautika dari utara Tanjung Po pada Jumaat.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata ketiga-tiga bot tempatan kelas C2 tersebut ditahan untuk pemeriksaan selepas dilihat mencurigakan iaitu sekitar jam 10.12 pagi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga bot tersebut didapati menangkap ikan di kawasan yang tidak sepatutnya iaitu di bawah jarak 30 batu nautika seperti yang ditetapkan pada lesen. 

"Pemeriksaan lanjut juga mendapati ketiga-tiga tekong dan 20 awak-awak bot tersebut merupakan warganegara Thailand berusia lingkungan 28 hingga 56 tahun.

"Mereka kemudian dibawa ke Kompleks Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana disyaki melanggar syarat lesen," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tegas Robert, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang di laut.

"Justeru Maritim Malaysia sentiasa berusaha meningkatkan kawalan keselamatan dan rondaan operasi penguatkuasaan undang-undang di zon perairan negara ini.

"Operasi tersebut juga bertujuan memastikan keselamatan kapal dan bot yang berada di perairan negara terjamin serta sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan di perairan supaya menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Sarawak di talian 082-432544.

"Kita beroperasi 24 jam, segera hubungi kita agar tindakan dapat diambil secepat mungkin," ujarnya.