Anda di sini

Program Penyeragaman Harga Barangan Keperluan Asas beri manfaat penduduk luar bandar di Sarawak

Advertisement
Nanta  melakukan gimik pelancaran program Citarasa Malaysia @ Bumi Kenyalang di Vivacity Megamall hari ini. Turut kelihatan, Naroden dan Hasnol (tiga kiri).
Nanta melakukan gimik pelancaran program Citarasa Malaysia @ Bumi Kenyalang di Vivacity Megamall hari ini. Turut kelihatan, Naroden dan Hasnol (tiga kiri).

KUCHING: Program Penyeragaman Harga Barangan Keperluan Asas di seluruh negara, yang diperkenalkan Kementerian  Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan terus memberi manfaat kepada penduduk di kawasan luar bandar.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, program yang diperkenalkan sejak 2009 itu bertujuan membantu penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman dapat membeli barangan  keperluan asas yang tersenarai pada harga yang sama dijual di bandar.

Mengambil contoh, katanya, harga barangan keperluan asas yang dijual di Pekan Song boleh juga dibeli dengan harga sama untuk penduduk yang tinggal jauh di Hulu Engkuah, Kapit. 

"Jika  menggunakan jalan air (sungai) akan  mengambil masa tiga sehingga empat jam dan ini memerlukan kos yang besar.

"Jadi dengan pelaksanaan Program Penyeragaman Harga Barangan  Keperluan Asas dapat membantu  mereka yang kurang  berpendapatan  atau golongan B40  membeli barang keperluan itu dengan harga yang tidak terbeban dengan  kos pengangkutan.

"Itu yang penting kerana kos pengangkutan atau penghantaran  bagi barangan keperluan asas itu adalah ditanggung oleh oleh kerajaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Citarasa Malaysia @ Bumi Kenyalang di Vivacity Megamall di sini, hari ini.

Menurut Nanta,  program ini berjaya  mencapai matlamat berdasarkan hasil pemantauan menyeluruh yang dilakukan oleh pegawai penguatkuasa  KPDNHEP dan pelaksanaan sistem harga yang berdaya saing.

"Program ini  dianggap berjaya mencapai matlamatnya. Apatah lagi, kerajaan 
setiap tahun berbelanja jutaan ringgit  untuk pelaksanaan program ini  di seluruh Malaysia serta memperuntukkan jumlah besar ke Sarawak dan Sabah," ujarnya.

Dalam pada itu Nanta yang juga  Ahli Parlimen Kapit yakin program penyeragaman harga barang itu akan diteruskan  dan  pada masa sama, harga barangan  di luar bandar boleh dikurangkan  lagi setelah kerajaan menyiapkan banyak projek jalan.

Hadir sama, Menteri Muda Pembangunan Perdanganan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd Naroden Majais dan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.
 

  • oleh
  • Advertisement