Anda di sini

Patuhi SOP, bersama cegah COVID-19

Advertisement
 Azizah meninjau keadaan kelas di MRSM Kota Kinabalu bagi memastikan SOP dipatuhi.
TINJAU: Azizah meninjau keadaan kelas di MRSM Kota Kinabalu bagi memastikan SOP dipatuhi.

 

KINARUT : Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Azizah Mohd Dun berharap semua pihak terutama pelajar serta guru mematuhi Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) yang ditetapkan bagi mencegah penularan wabak pandemik COVID-19.

Katanya, dengan pembukaan semula sekolah-sekolah di seluruh negara, semua pihak perlu mengikuti SOP yang telah ditetapkan dan menjadikan ia sebagai satu norma baharu dalam kehidupan seharian.

Tambah beliau, ibubapa tidak perlu berasa bimbang kerana MARA telah merangka satu garis panduan selari dengan arahan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.

"Saya harap warga sekolah (guru dan pelajar) mempraktikkan penjarakan sosial dan lain-lain perkara dalam SOP. Garis panduan ini juga wajar dipatuhi pelawat ketika berada di sekolah, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan semasa sesi lawatan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Hadir sama Pengetua MRSM Gilbert Wong; Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Ainizah Ariffin; Timbalan Pengarah MARA Negeri Sabah mewakili Pengarah MARA Negeri Sabah, Mohd Norwawi Ibrahim serta kakitangan MRSM.

Dalam perkembangan berkaitan, Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort meminta supaya para guru tampil dengan pendekatan dan kaedah yang kreatif dalam pengajaran bagi mencapai objektif meningkatkan prestasi pelajar.

"Saya percaya guru-guru pasti mempunyai kreativiti masing-masing. Saya yakin usaha ini dapat memastikan proses penyampaian ilmu itu berjalan dengan dengan lebih berkesan, lagi-lagi dalam situasi norma baharu hari ini, " katanya.

Seramai 145 pelajar tingkatan lima di MRSM Kota Kinabalu bakal menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tahun ini.

  • oleh
  • Advertisement