Anda di sini

MRSM Lawas bakal pacu pendidikan luar bandar Sarawak

Advertisement
 Awang Tengah (tiga kiri) menyerahkan geran tanah MRSM Lawas kepada Abdul Latif disaksikan Azhar (kiri), Henry dan Dr Abdul Rahman (kanan) semalam.
KEMUDAHAN PENDIDIKAN: Awang Tengah (tiga kiri) menyerahkan geran tanah MRSM Lawas kepada Abdul Latif disaksikan Azhar (kiri), Henry dan Dr Abdul Rahman (kanan) semalam.

LAWAS: Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Lawas bernilai RM140 juta yang merupakan institusi pendidikan menengah milik MARA pertama di utara Sarawak dilengkapi kemudahan pembelajaran kondusif khusus untuk memacu pendidikan luar bandar.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata MRSM Lawas merupakan MRSM kelima di Sarawak yang menawarkan program MRSM Premier dan pembinaannya dijangka siap sepenuhnya pada 2024.

Beliau berkata, pada masa ini terdapat tiga MRSM di Sarawak iaitu MRSM Kuching, MRSM Betong dan MRSM Mukah, manakala sebuah MRSM lagi sedang dalam pembinaan iaitu MRSM Bintulu yang merupakan projek pembangunan secara bersama antara MARA, Petronas dan kerajaan negeri Sarawak.

“Kewujudan MRSM Lawas menjadi bukti tekad kerajaan persekutuan dan negeri untuk terus membangunkan prasarana pendidikan terbaik bagi membangun modal insan khususnya di luar bandar Sarawak,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Geran Tanah MRSM Lawas di Hotel Seri Malaysia di sini, semalam.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia Datuk Henry Sum Agung, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Dr  Ahmad Jailani Muhamed Yunus dan Timbalan Ketua Setiausahanya (Pembangunan) Datuk Norison Ramli, Ketua Pengarah MARA Datuk Azhar Abdul Manaf dan Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi.

Abdul Latiff berkata MRSM terbukti menjadi pemacu kecemerlangan pendidikan menengah sejak ditubuhkan pada 1972 dan telah melahirkan seramai 178,683 alumni yang aktif menyumbang dalam pelbagai bidang.

“Kini, terdapat 53 MRSM yang sedang beroperasi di seluruh negara, manakala empat MRSM sedang dalam pembinaan serta empat lagi bakal dibina termasuklah MRSM Lawas,” katanya.

Beliai berkata di Sarawak, MRSM mempunyai seramai 2,172 pelajar tingkatan satu hingga lima di tiga MRSM iaitu di Kuching, Mukah dan Betong.

Setakat ini katanya, terdapat 4,698 alumni dari tiga MRSM di Sarawak yang hampir keseluruhannya adalah anak Sarawak.

“MRSM Bintulu yang bakal menempatkan seramai 450 pelajar dari tingkatan satu hingga lima sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2022.

“Manakala MRSM kedua yang bakal dibina ialah MRSM Lawas yang kita adakan acara penyerahan geran tanah pada hari ini (semalam),” katanya.

Beliau memberitahu, kerajaan meluluskan pembinaan MRSM Lawas dalam Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) pada 2019.

“Pengambilan tapak tanah milik kerajaan negeri Sarawak ini adalah di Daerah Lawas dengan keluasan 35 ekar dan sejauh tujuh kilometer dari pusat bandar Lawas.

“Tapak projek ini berdekatan dengan jalan raya utama yang menghubungkan Lawas Sarawak, Sipitang Sabah, Temburung Brunei, Daerah Limbang dan Miri Sarawak dan terletak dalam tanah Zon Pendidikan,” jelasnya.

MRSM Lawas tambahnya, akan dilengkapi kemudahan asas MRSM seperti blok pentadbiran, blok akademik, asrama, surau, pusat pelajar, dewan serba guna, gelanggang riadah, kuarters staf dan kuarters guru serta pembekalan peralatan dan kelengkapan.

“Dengan penyerahan tapak MRSM Lawas ini oleh kerajaan negeri Sarawak, pembinaan akan dapat dilaksanakan dengan kapasiti menyeluruh daripada setiap kontraktor dan pihak lain yang terlibat,” katanya.

Katanya lagi, MRSM Lawas bakal menempatkan seramai 450 pelajar dari tingkatan satu hingga lima bagi program Premier.

  • oleh
  • Advertisement