Anda di sini

Lelaki ditangkap setengah jam selepas rompak kedai serbaneka

Advertisement
 Baju dan beberapa barang dirampas daripada suspek untuk siasatan kes rompakan.
BARANG KES: Baju dan beberapa barang dirampas daripada suspek untuk siasatan kes rompakan.

BINTULU: Sebuah kedai serbaneka di Bintulu Sentral, Jalan Tanjung Kidurong dirompak oleh seorang lelaki tempatan dalam kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari, Rabu lalu.

Suspek bagaimanapun berjaya diberkas dengan pantas oleh polis setengah jam kemudian di sebuah kampung di sini.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata dalam kejadian itu seorang pekerja wanita berusia 21 tahun di kedai terbabit berada di kaunter bayaran telah didatangi suspek, 27, yang bertindak mengacu pisau dan mengugut akan mencederakan mangsa.

“Suspek minta mangsa menyerahkan sejumlah wang di kaunter itu dan mangsa yang ketakutan terus menyerahkan wang sejumlah RM300 sebelum suspek melarikan diri dengan sebuah kereta,” katanya dalam kenyataan semalam.

Bertindak atas maklumat, sekitar jam 1 petang hari sama, polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu diketuai ASP Mohd Razif Mohd Yusuf melakukan serbuan ke atas sebuah rumah kampung di sini.

“Serbuan berjaya menangkap seorang lelaki tempatan dipercayai boleh membantu siasatan dalam kes ini. Turut dirampas ialah pakaian, penutup muka, pisau serta wang tunai RM164.

“Suspek dibawa ke Mahkamah Bintulu mendapat permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah kelmarin,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun, denda dan sebatan.

Advertisement