Anda di sini

Lelaki disyaki edar dadah dicekup di belakang rumah

Advertisement
 Barang disyaki dadah ditemui ketika suspek ditahan dan dirampas untuk dijadikan barang bukti.
RAMPAS: Barang disyaki dadah ditemui ketika suspek ditahan dan dirampas untuk dijadikan barang bukti.

MIRI: Seorang penganggur lelaki ditangkap di belakang sebuah rumah di Siang-Siang Garden, Jalan Luak Bay di sini malam kelmarin setelah disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata suspek, 47, ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri ketika membuat serbuan ke lokasi kira-kira jam 10.30 malam.

“Ketika hendak menangkapnya, suspek membuang satu objek di luar pagar belakang rumah terbabit.

“Pemeriksaan lanjut terhadap barang itu menjumpai enam peket plastik lutsinar berisi pil berwarna ungu setiap peket mengandungi 50 biji pil disyaki dadah jenis ekstasi dengan sebanyak 300 biji dianggarkan seberat 98 gram.

“Selain itu, lima peket plastik lutsinar berisi pil berwarna merah jambu setiap peket mengandungi 50 biji pil disyaki dadah jenis ekstasi sebanyak 250 biji dengan anggaran berat 101 gram.

“Ketiganya adalah 100 papan kerajang timah berwarna merah setiap papan mengandungi 10 pil disyaki dadah jenis Erimin 5 dengan sebanyak 1,000 biji anggaran berat 280 gram,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Lim berkata, semua barang disyaki dadah itu dirampas dan suspek kemudiannya ditahan untuk tindakan lanjut.

“Polis turut menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dianggarkan bernilai RM30,000 dan wang tunai berjumlah RM1,000. Suspek dipercayai melakukan aktiviti penyalahgunaan dadah itu lebih satu tahun,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.