Anda di sini

Kolam air panas Puncak Borneo perlu kajian geofizik - Willie Mongin

Advertisement
- Gambar Fail Bernama
- Gambar Fail Bernama

KUCHING: Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) diminta untuk membuat kajian geofizik mengenai rembesan bawah tanah kolam air panas di Kampung Annah Rais, Jalan Puncak Borneo dekat Padawan di sini. 

Ahli Parlimen Puncak Borneo yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Willie Mongin (gambar) berkata kajian ini termasuklah bagi mengenal pasti ciri hidrogeokimia di kawasan kolam air panas tersebut yang popular dalam kalangan pelancong asing dan tempatan selepas melawat rumah panjang kaum Bidayuh di Kampung Annah Rais.

"Dengan adanya kajian itu nanti, zon mata air panas dapat digambarkan dengan lebih baik untuk membantu melestarikan produk pelancongan di kawasan Parlimen Puncak Borneo," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini. 

Menurutnya kajian juga perlu dibuat berhubung kerentanan tanah di jajaran Puncak Borneo, Jalan Padawan, Jalan Link Padawan dan Jalan Semadang - Dahan Estate untuk mengenal pasti punca kejadian tanah runtuh sering berlaku di kawasan itu. 

"Dengan adanya kajian kerentanan ini, kawasan tanah runtuh berisiko dapat dikenal pasti dan langkah-langkah mitigasi dapat dilakukan untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh daripada berulang," katanya. 

Willie berkata permintaan untuk kajian itu telah disampaikan kepada Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Ali Biju baru-baru ini.

"Ini penting demi keselamatan pengguna jalan di jajaran kawasan Parlimen Puncak Borneo," katanya.

Kawasan Puncak Borneo merupakan kawasan pelancongan yang popular, khususnya bagi pelawat yang ingin mengenali budaya masyarakat Bidayuh di Sarawak. 

Selain kampung tradisional - Annah Rais dan Benuk, Sungai Semadang yang popular dengan aktiviti sukan dan rekreasi air juga terletak di sini. 

Antara acara tahunan bertaraf antarabangsa yang dilangsungkan di kawasan ini termasuklah Safari Rakit Antarabangsa Padawan, Festival Tagang Antarabangsa Semadang dan Festival Muzik Country Antarabangsa Siniawan. - Bernama