Anda di sini

Kerajaan tetapkan fi ujian pengesanan COVID-19

Advertisement

PUTRAJAYA: Warganegara Malaysia dan warga asing kini akan dikenakan fi ujian pengesanan penyakit COVID-19 di pintu masuk negara dan fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata pengenaan fi itu adalah di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Fi Bagi Ujian Pengesanan Penyakit Koronavirus 2019) (COVID-19) 2020 yang berkuat kuasa pada 29 Jun.

“Selaras dengan penguatkuasaan peraturan-peraturan itu, mana-mana warganegara atau orang asing yang memasuki Malaysia dari luar negara hendaklah membayar fi bagi ujian pengesanan COVID-19 sebelum mendapat pelepasan imigresen di mana-mana pintu masuk negara,” katanya dalam kenyataan semalam.

“Mana-mana warganegara atau orang asing yang berada di Malaysia boleh meminta untuk menjalani ujian pengesanan COVID-19 di mana-mana hospital kerajaan atau klinik KKM dan hendaklah membayar fi bagi ujian pengesanan COVID-19,” menurutnya.

Bagi Jenis Ujian Pengesanan COVID-19: Tindak balas berantai polimerase; fi untuk warganegara ialah RM150, dan untuk warga asing RM250, manakala bagi Jenis Ujian Pengesanan COVID-19: Kit ujian pantas antigen, fi untuk warganegara ialah RM60, dan fi untuk warga asing RM120.

Sementara itu bagi Jenis Ujian Pengesanan COVID-19: Kit ujian pantas antibodi fi untuk warganegara ialah RM30, manakala untuk warga asing RM60.

Dr Adham berkata bagaimanapun warganegara Malaysia dalam kumpulan tertentu, seperti pegawai kerajaan yang memasuki Malaysia dari luar negara atas tugasan rasmi, diketepikan daripada fi berkenaan, namun mereka .perlu mengemukakan surat arahan rasmi berhubung perkara itu sebagai bukti.

“Pengecualian ini tidak terpakai kepada ahli keluarga pegawai,” katanya.

Turut dikecualikan ialah orang kurang upaya (OKU) yang memasuki Malaysia dari luar negara, dengan mengemukakan kad OKU yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan pengecualian itu juga tidak terpakai kepada ahli keluarga OKU.

Beliau berkata pengecualian juga diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia, persendirian atau mempunyai penajaan, yang memasuki Malaysia dari luar negara kali pertama dan mereka perlu mengemukakan bukti pengajian.

Dr Adham menjelaskan ujian pengesanan penyakit COVID-19 di pintu masuk antarabangsa dan fasiliti KKM akan menggunakan teknik tindak balas berantai polimerase atau kit ujian pantas antigen mengikut kesesuaian semasa.

“Ketika ini ujian kit ujian pantas antibodi digunakan ke atas individu yang diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah pada hari ke-13, sebelum mereka dilepaskan dari perintah itu pada hari ke-14,” katanya. — Bernama

Advertisement