Anda di sini

Kerajaan cadang bangun Bintulu sebagai hab petrokimia

Advertisement
 Abang Johari (dua kiri) semasa bercakap pada sidang media lawatan kerja ke tapak pembangunan Projek Loji Metanol Sarawak di Tanjung Kidurong, kelmarin.
MAJUKAN BINTULU: Abang Johari (dua kiri) semasa bercakap pada sidang media lawatan kerja ke tapak pembangunan Projek Loji Metanol Sarawak di Tanjung Kidurong, kelmarin.

BINTULU: Bintulu yang dicadangkan untuk dibangun sebagai hab petrokimia dijangka mewujudkan 74,000 peluang kerja kepada penduduk Sarawak sekali gus berpotensi menyumbang RM16 bilion hingga RM20 bilion keluaran dalam negara kasar (KDNK) setahun kepada negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, hab itu akan membolehkan Sarawak mewujud nilai tambah kepada sumber aslinya sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk meningkatkan nilai tambah tinggi aktiviti hiliran dalam sektor minyak dan gas.

Katanya, banyak perkhidmatan lain khususnya aktiviti ekonomi akan turut tumbuh daripada hab tersebut, termasuk dari segi perkhidmatan dan penyelenggaraan.

“Bahkan aktiviti ekonomi lain juga akan tumbuh daripada loji metanol ini,” ujarnya pada sidang media semasa lawatan kerja ke tapak pembangunan Projek Loji Metanol Sarawak (Sarawak Petchem) di kawasan 34 hektar di Similajau, Tanjung Kidurong petang kelmarin.

Abang Johari berkata, projek loji metanol itu merupakan yang pertama seumpamanya dalam petrokimia diusahakan Sarawak.

“Biasanya kita bergantung kepada Petronas, hari ini kita melakukannya sendiri, sudah tentunya kita akan bekerjasama dengan Petro-nas khususnya dari segi teknologi,” jelasnya.

Menurutnya, projek lain yang berpotensi untuk sektor ini termasuk pengeluaran amonia, hidrogen, deravatif metanol dan beberapa produk hiliran nilai tambah tinggi seperti kaca terapung dan siloksan serta bahan dari sumber lain, manakala industri berpotensi termasuk loji kolin klorida, loji monoetilena dan loji propilena.

Ujarnya, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) sebagai pemilik tanah akan membangun dan mengurus hab ini khususnya memusatkan utiliti fasilitinya dan beberapa kawasan yang biasa bagi memudahkan penyertaan pelabur berpotensi.

“SEDC akan menyedia-kan utiliti asas sebagai prasyarat untuk mana-mana loji petrokimia yang ingin datang ke sini,” katanya sambil menambah kerajaan negeri telah memperoleh kawasan dianggarkan seluas 1,068 ekar di Tanjung Kidurong untuk cadangan membangunkan hab petrokimia Sarawak.

Ia terletak di lokasi 15 kilometer ke timur laut Bintulu, kira-kira 36 kilometer dari Taman Perindustrian Samalaju dan dikelilingi pembangunan tenaga berkaitan seperti Kompleks Petronas LNG, Shell MDS dan loji kuasa SESCO serta bersebe-lahan dengan loji metanol yang sedang dibangunkan.

Selain itu, Abang Johari berkata Unit Perancangan Ekonomi negeri sedang menjalankan kajian untuk menarik lebih banyak pelabur melabur dalam petrokimia.

Katanya, terdapat juga minat daripada pemain-pemain lain industri untuk menempatkan loji mereka di sini.

“Kita mempunyai infrastruktur dan tenaga dan bekalan air yang mana secara agresif diperkembangkan oleh kerajaan negeri. Loji metanol sendiri memerlukan sekitar 320 hingga 360 kakitangan termasuk lebih 200 kakitangan teknikal yang merangkumi pemegang diploma dan ijazah,” kata-nya.

Katanya, masa depan industri petrokimia di Sarawak cerah dan dengan bekerja-sama rapat Petronas, kerajaan akan dapat menambah baik teknologinya untuk membekalkan gas ke seluruh dunia.

“Masa depan metanol ada di situ, tidak seperti minyak mentah. Kita ada saingan dengan sumber tenaga alter-natif lain khususnya hidrogen. Dengan semua tenaga bersih, negeri ini mempunyai kelebihan dari semasa ke semasa mungkin bukan sekarang, tetapi dalam 15 hingga 20 tahun dan itu yang berlaku dalam industri,” katanya.

Turut mengiringi Ketua Menteri ialah Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion dan Pengerusi SEDC Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain.

  • oleh
  • Advertisement