Anda di sini

Kenderaan warga emas terbalik dalam kemalangan melibatkan dua pacuan empat roda

Advertisement
 Kenderaan warga emas terbalik selepas terlibat dalam kemalangan.
TERBALIK : Kenderaan warga emas terbalik selepas terlibat dalam kemalangan.

TAWAU : Sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki warga emas terbalik selepas terlibat dalam kemalangan di Batu 8 Jalan Apas, di sini.

Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, mangsa, 60, dalam perjalanan dari arah Batu 10 Jalan Apas menuju ke arah bandar Tawau sebelum terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kenderaannya terbabas dan terbalik di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata kemalangan yang melibatkan dua kenderaan pacuan empat roda itu berlaku kerana kecuaian pemanduan suspek lelaki,40, semasa hendak mengubah laluan.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek yang memandu di lorong kiri secara tiba-tiba bertindak mengubah laluan ke sebelah kanan di hadapan kenderaan mangsa tanpa melihat cermin sisi kenderaan.

"Akibat tindakannya itu, mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang kenderaan suspek kerana jarak terlalu dekat sehingga menyebabkan mangsa terbabas ke pembahagi jalan sebelum terbalik," katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Peter berkata hasil siasatan, kemalangan berpunca dari kecuaian suspek ketika mengubah haluan kenderaannya dari laluan kiri ke lorong sebelah kanan.

"Kedua-dua pemandu pada ketika itu tidak disyaki dalam keadaan mabuk, manakala permukaan jalan di lokasi kejadian berturap dan cuaca juga berkeadaan baik.

"Mereka juga tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes tersebut disiasat mengikut Rule 6 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan," katanya.

  • oleh
  • Advertisement