Anda di sini

Jadual pembinaan Jambatan Kuala Kemena-Jepak dilanjut tiga bulan

Advertisement
 Kerja-kerja pembinaan Jambatan Kuala Kemena-Jepak dilaksanakan di kawasan seberang Jepak.
KEADAAN KEMAJUAN: Kerja-kerja pembinaan Jambatan Kuala Kemena-Jepak dilaksanakan di kawasan seberang Jepak.
 Kerja-kerja pembinaan Jambatan Kuala Kemena-Jepak sedang                     dilaksanakan di kawasan seberang bandar Bintulu.
PERKEMBANGAN TERKINI: Kerja-kerja pembinaan Jambatan Kuala Kemena-Jepak sedang dilaksanakan di kawasan seberang bandar Bintulu.
JULAIHI
JULAIHI

BINTULU: Projek Jambatan Kuala Kemena-Jepak dilanjutkan jadual pembinaannya tiga bulan dengan sasaran penyiapan pada Julai 2023 berbanding April tahun sama berikutan pemberhentian kerja di bawah Perintah Kawalan Pergera-kan (PKP).

Menteri Muda Infra-struktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi berkata, kerja-kerja pembinaan jambatan itu akhirnya dapat dijalankan selepas tiga bulan kerja ditangguhkan di tapak demi mematuhi PKP.

“Kemajuan pembinaannya setakat ini 3.94 peratus, ada kelewatan sikit disebabkan tiga bulan tidak bekerja,” ujarnya semasa ditemui media sempena lawatan kerja bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ke tapak projek pembinaan Jambatan Kuala Kemena-Jepak bernilai RM467 juta petang kelmarin.

“Sekurang-kurangnya tiga bulan tambahan pembinaannya bermakna ia siap pada Julai tahun 2023. Jadual asal ialah 48 bulan, kita telah tertinggal tiga bulan maka perlu tambahan tiga bulan lagi (untuk menyiapkannya),” jelasnya.

Begitupun Julaihi berkata, pihak kontraktor akan berusaha untuk mencapai sasaran, malah menyiapkan projek itu lebih awal daripada jadual ditetapkan.

“Mereka ada matlamat yang begitu baik, sekiranya mereka dapat menyiapkan lebih awal ia amat dialu-alukan tetapi saya yakin mereka mempunyai jadual sendiri untuk memastikan kerja-kerja siap awal dari jadual,” katanya.

Berhubung tenaga kerja katanya, di tapak projek itu terdapat warga asing yang tinggal melibatkan pekerja dari China, selain pekerja warga tempatan.

“Pekerja ini telah berada di tapak pembinaan sebelum PKP lagi, namun bagi pekerja yang telah balik ke negara mereka belum dibenarkan kembali bekerja atas syarat PKP yang kita tetapkan,” katanya.

Katanya, untuk lawatan Ketua Menteri ke tapak projek, ia adalah lawatan kerja biasa untuk melihat perkembangan projek-projek rakyat yang sedang dilaksanakan di seluruh Sarawak.

“Kita meninjau projek Jambatan Kerian, Jambatan Batang Saribas, jalan raya Sibu Jaya dan kali ini giliran Jambatan Kuala Kemena-Jepak Bintulu. Yang Amat Berhormat (YAB) amat prihatin terhadap projek rakyat yang dilaksanakan dan kita ingin memastikan apa yang ditunggu-tunggu rakyat (projek dilaksanakan akan) berjalan dengan lancar,” katanya.

Ditanya mengenai pematuhan semasa PKP Pemulihan (PKPP) katanya, kontraktor memang dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP), memasti-kan tempat tinggal pekerja mematuhi SOP, menetapkan SOP yang perlu dipatuhi oleh semua kontraktor dan mereka (kontraktor) juga perlu menghantar laporan bulanan bersama laporan kemajuan projek yang dijalankan.

“Ini syarat yang kita kenakan kepada semua kontraktor di semua tapak pembinaan,” katanya sambil menambah kontraktor projek, PPES Works-CCCC JV Sdn Bhd memulakan projek pembinaan Jambatan Kuala Kemena-Jepak itu sejak 3 April 2019.

Rangkaian Jalan Pesisir dan Jalan Utama Kedua adalah projek mega bernilai RM11 bilion dibiayai kerajaan Sarawak dan pembinaannya menjangkau lima tahun untuk disiapkan.

Ia akan menghubungkan bandar-bandar utama Sarawak sepanjang kawasan pesisir seperti Kuching, Kota Samarahan, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri serta memberi manfaat kepada 1.9 juta penduduk Sarawak.

Advertisement