Anda di sini

Jadikan perkhidmatan kepenjaraan dan korektif diyakini Rakyat

Advertisement
 Suria (duduk tengah) bergambar kenangan bersama penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019.
KENANGAN: Suria (duduk tengah) bergambar kenangan bersama penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019.

LABUAN: Pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara  diseru untuk menjadikan perkhidmatan kepenjaraan dan korektif sebagai perkhidmatan yang diyakini rakyat serta menepati keperluan masa.

Menurut Pengarah Penjara Negeri Sabah dan Labuan, Datuk Suria Idris, Anggota Jabatan Penjara perlu memberi sepenuh perhatian dan daya usaha mempertingkatkan mutu kerja yang berkualiti tinggi.

“Bersama-sama kita bersatu hati dan seiring mendukung usaha Jabatan Penjara Malaysia menjadi peneraju perkhidmatan korektif,”katanya semasa berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 dan Anugerah Pingat Jabatan Penjara Malaysia 2020 Peringkat  Pusat Koreksional Labuan, semalam.

Suria merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima anugerah dan berharap ianya dapat mengekalkan prestasi cemerlang di masa depan demi kebaikan Jabatan Penjara Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Pusat Koreksional Labuan, Abd Rauf Lang Pasih berkata, pengiktirafan dan penghargaan itu diharap dapat melonjakkan motivasi para penerimanya.

“Semoga anugerah ini menjadikan anda insan kamil yang bersahsiah, berkualiti seterusnya menjadi role model dan mentor terbaik kepada rakan sekerja yang lain.

“Ia menjadi nadi penggerak dan peneraju kepada perubahan positif dalam membudayakan kecemerlangan di tempat kerja selain mencetus inspirasi kepada semua warga kerja Pusat Koreksional Labuan untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang,”katanya semasa menyampaikan ucapan aluan.

Beliau turut mengingatkan semua anggota Pusat Koreksional Labuan mengetahui batas-batas perhubungan dalam komunikasi serta mematuhi etika penggunaan media sosial agar imej kerajaan dan kementerian sentiasa terpelihara.

Bagi seorang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Inspektor Penjara Endersoen Jamilih, sentiasa patuh kepada arahan menjadi kunci kecemerlangan beliau dalam perkhidmatan.

“Sentiasa ikut perintah, SOP, peraturan jabatan dan mematuhi arahan dari masa ke masa menjadi amalan saya sepanjang berkhidmat dalam Jabatan Penjara.

“Sudah tentu saya merasa gembira dan terima kasih kepada pihak pengurusan yang memberi kepercayaan kepada saya untuk menerima anugerah ini,”kongsinya.

Sarjan Penjara, Mary Joseph, bersyukur menerima Anugerah Pingat Jabatan Penjara Malaysia ketika usia perkhidmatan memasuki tahun ke 27.

“Ini memberi satu kebanggaan kepada saya dan menjadi pendorong untuk berusaha lebih gigih serta cemerlang di masa hadapan.

“Kita mesti ada disiplin, motivasi diri untuk berkhidmat selain menepati masa dan paling penting sikap intergriti yang tinggi sebagai penjawat awam,”jelasnya.

Pada majlis itu seramai Sembilan orang pegawai menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan 17 orang terpilih sebagai penerima Pingat Jabatan Penjara Malaysia.-Penerangan.