Anda di sini

Hilang kedua-dua tangan dibaham buaya ketika mandi Sungai Kalabakan

Advertisement
 Mayat mangsa ditemui dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
DITEMUI : Mayat mangsa ditemui dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

TAWAU: Mayat seorang lelaki yang hilang di Sungai Kalabakan kelmarin ditemui tanpa kedua-dua belah tangan dipercayai dibaham buaya kira-kira jam 11 pagi, di sini hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mayat mangsa Sukrien Jesman Yusoff, 24, ditemui 2 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang.

"Mayat Sukrien berjaya ditemui oleh penduduk kampung yang turut membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebelum meminta bantuan pasukan bomba mengambil mayat mangsa," katanya.

Terdahulu, menurut saksi, pada waktu kejadian mangsa dikatakan sedang mandi di kawasan sungai tersebut sebelum hilang secara tiba-tiba dipercayai dibaham haiwan reptilia itu.

Sebaik menyedari mangsa tidak kelihatan dan hilang di sungai tersebut, saksi itu kemudiannya bertindak meminta bantuan penduduk kampung dan anggota bomba untuk mencari mangsa.

Menurut JBPM Sabah, kelmarin pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau berhubung kejadian tersebut pada jam 3.14 petang.

"Sebaik menerima panggilan itu, sepasukan enam anggota bomba yang diketuai oleh Pegawai Kanan II Zougarana Konin digerakkan ke lokasi kejadian.

"Namun, pencarian kelmarin bersama agensi penyelamat yang lain serta penduduk kampung masih gagal menemui mangsa sehingga operasi ditangguh pada jam 6 petang kerana cuaca gelap," katanya.

Mengulas lanjut, operasi hari kedua diteruskan yang diketuai oleh Ketua BBP Tawau Zulbada Alior bersama tujuh anggota bersama agensi lain termasuk penduduk kampung dan dalam operasi bersama tersebut berjaya menemui mayat mangsa.

"Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.15 tengah hari," katanya.

  • oleh
  • Advertisement