Anda di sini

Dua anggota polis cedera ringan kenderaan terbalik

Advertisement
 Kemalangan yang melibatkan dua anggota polis cedera.
TERBALIK: Kemalangan yang melibatkan dua anggota polis cedera.

LAHAD DATU: Dua anggota Balai Polis Tambisan cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbalik dalam insiden kemalangan Jalan Felda Sahabat Tujuh, Tungku, di sini.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata anggota yang terlibat dalam insiden itu berumur 32 dan 34 tahun dan hanya mengalami kecederaan ringan serta telah menerima rawatan selanjutnya di Hospital Lahad Datu.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi ketika anggota sedang dalam perjalanan bertugas dari Tambisan menuju ke Gate 55 Felda Sahabat.

"Setibanya di lokasi yang berselekoh dan dalam keadaan licin kerana hujan, kenderaan yang dipandu telah hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik di bahu jalan sebelah kanan," katanya.

Menurut Nasri, kenderaan yang dipandu didapati mengalami kerosakan teruk di keseluruhan bahagian badan kenderaan.

Katanya, hasil siasatan awal yang dilakukan mendapati punca kemalangan disebabkan pemandu yang gagal mengawal kenderaan dengan baik sehingga menyebabkan kemalangan dalam keadaan hujan lebat. 

Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, menurut Timbalan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Lahad Datu Abu Bakar Teraji, panggilan kecemasan diterima jam 8.46 pagi dan sepasukan empat anggota menaiki kenderaan Scania dan tiga anggota bomba sukarela menaiki sebuah kenderaan bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 90 kilometer dari balai bomba.

Katanya, pasukan telah tiba di lokasi jam 9.30 pagi dan api terkawal jam 10.14 pagi dan padam sepenuhnya 10.16 pagi.

"Insiden itu tidak mengakibatkan kehilangan jiwa namun dua anggota polis yang terlibat mengalami cedera ringan dan menerima rawatan," katanya.

  • oleh
  • Advertisement