Anda di sini

COVID-19: Tiada kes positif baharu untuk enam hari berturut-turut

Advertisement
 

KUCHING: Sarawak merekodkan sifar kes positif baharu COVID-19 untuk enam hari berturut-turut hari ini menjadikan jumlah kes positif kekal sebanyak 571 kes. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan turut memaklumkan tiada kes baharu yang telah sembuh dan discaj dari hospital, hari ini. 

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah sembuh dan discaj kekal sebanyak 545 orang atau 95.45 peratus. 

“Seramai sembilan orang masih menerima rawatan di dalam wad isolasi hospital dengan jumlah kematian kekal sebanyak 17 orang. 

“Bagi kes orang disyaki (PUI), sebanyak 12 PUI baharu dilaporkan dengan tiga kes masih menunggu ujian makmal,” katanya. 

JPBNS turut memaklumkan seramai 87 orang dibawah pengawasan (PUS) telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin hari ini. 

Ini menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 13 buah hotel adalah seramai 719 orang dengan 17,481 PUS telah tamat menjalani tempoh kuarantin. 

Mengenai pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula, setakat ini sebanyak 2,154 premis telah dipantau meliputi Pasaraya, Restoran, Kilang, Bank, Pejabat Kerajaan, Penjaja, Pasar Tani/Awam, Tempat Ibadah, Tempat Riadah, Tapak Pembinaan dan lain-lain. 

Dalam pada itu daripada enam sekatan jalan raya yang dijalankan di lima daerah iaitu Lundu, Bau, Serian, Sri Aman dan Lubok Antu, sebanyak 994 kenderaan telah diperiksa.