Anda di sini

13 pemandu ditahan memandu di bawah pengaruh alkohol di Padawan

Advertisement
Lim bersama anggotanya membuat ujian kandungan alkohol terhadap pemandu yang ditahan dalam operasi tersebut, malam tadi.
Lim bersama anggotanya membuat ujian kandungan alkohol terhadap pemandu yang ditahan dalam operasi tersebut, malam tadi.

KUCHING: Seramai 13 pemandu kereta ditahan kerana didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam lapan operasi berasingan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan sehingga semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata daripada jumlah tersebut seramai lima telah dijatuhkan hukuman dan selebihnya masih menunggu tarikh perbicaraan.

Menurutnya, hukuman denda sehingga RM6,000 dan penjara sehingga 12 bulan akan dikenakan sekiranya didapati bersalah di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Sebanyak lapan operasi 'Op Mabuk' dilaksanakan di daerah Padawan sejak awal tahun, di mana seramai 13 pemandu telah ditahan dan ada yang telah dijatuhkan hukuman.

"Terbaru ialah pada malam tadi (Jumaat), di mana enam pemandu ditahan didapati positif SD2 (screening device) dan EBA II (Evidential Breathalyzer)," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Lim selain itu memberitahu pihaknya akan menjalankan 'Op Mabuk' setiap minggu mengantikan operasi berkala sebelum ini.

"Sebelum ini 'Op Mabuk' diadakan secara berkala namun demikian operasi ini akan diadakan setiap minggu bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang awam supaya mematuhi undang-undang jalanraya.

"Selain itu, kita juga ingin memastikan agar tiada pemandu yang memandu dalam pengaruh alkohol atau mabuk," tegasnya.

Belian selain itu memberitahu tiada kemalangan yang melibatkan kematian direkodkan disebabkan pemandu mabuk di Padawan sejak awal tahun ini.

"Syukur kerana sehingga sekarang tiada kemalangan maut yang berpunca daripada mereka yang memandu dibawah pengaruh alkohol atau mabuk. 

"Untuk makluman, setiap pemandu yang terlibat dalam kemalangan maut akan diambil sampel darah bagi tujuan ujian kandungan alkohol dalam badan," jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement