Anda di sini

Tapak baru masjid Kampung Semop dipilih pimpinan kampung

Advertisement
 Abdullah bersama Kamri ketika lawatan kerja meninjau tapak baru bagi pembinaan Masjid Kampung Semop.
TAPAK BARU: Abdullah bersama Kamri ketika lawatan kerja meninjau tapak baru bagi pembinaan Masjid Kampung Semop.

PULAU BRUIT, DARO: Pemilihan tapak masjid baru Kampung Semop diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan kampung oleh Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak Abdullah Saidol.

Sehubungan itu, Ketua Kaum Kampung Semop Kamri Harun berkata tapak baru seluas empat ekar yang dicadangkan bagi pembinaannya atas tanah diwakafkan oleh sebuah keluarga dari kampung tersebut.
 
"YB Abdullah berjaya mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri bagi pembinaan masjid tersebut, pemilihan tapak masjid pula diserahkan sepenuhnya kepada pihak kepimpinan kampung," katanya ketika menyertai Abdullah meninjau tapak masjid di sini, hari ini.

Turut serta Kaunselor Rosita Jahari.

Sebelum ini satu tapak masjid Kampung Semop dikenalpasti dan projek penyediaan tapak tersebut yang melibatkan kerja menambak tanah telah siap.

"Namun bagi memenuhi permohonan pihak pengurusan masjid dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang mahu sedikit pengubahsuaian rekabentuk masjid bagi keperluan pertambahan jemaah pada masa hadapan termasuk menyediakan bilik pengurusan jenazah, maka tapak baru perlu dikenalpasti bagi pembinaan masjid dengan rekabentuk yang lebih besar," katanya.

Kamri juga memohon kepada Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop agar tapak masjid yang tidak digunakan bagi membina masjid supaya digunakan untuk pembinaan gelanggang simen serbaguna bagi kegunaan aktiviti kampung.

Beliau turut mencadangkan pembinaan gerai niaga bagi kegunaan para peniaga di kampung tersebut.

Sementara itu, Abdullah berkata beliau menyokong cadangan itu dan akan cuba menyediakan peruntukan bagi memenuhi permohonan pembinaan gerai niaga, termasuk dari kampung lain.

"Pembinaan gerai niaga ini adalah satu initiatif baik untuk membantu menaiktaraf sosioekonomi warga desa lebih-lebih lagi bila projek jalan di utara Pulau Bruit akan siap sepenuhnya tidak lama lagi.

"Kehadiran pengunjung dari luar ke Pulau Bruit dijangka akan bertambah apabila Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Batang Lassa siap," jelasya.

Menurutnya, Pulau Bruit kaya dengan hasil tani dan laut yang akan menarik perhatian kedatangan peniaga atau pemborong.

Sementara itu, pada sebelah petang, Abdullah mempengerusikan mesyuarat dengan pegawai Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Persatuan Nelayan Kawasan Bruit dan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) bagi membincangkan status Projek Perumahan Penempatan Semula Nelayan di Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) Semop.