Anda di sini

Tanah mendap di Long Lama perlu ditangani segera

Advertisement
 Rakaman                    gambar dari video yang tular di media sosial Selasa lalu yang menyaksikan keretakan teruk akibat mendapan tanah di hadapan Klinik Kesihatan Long Lama.
BERBAHAYA: Rakaman gambar dari video yang tular di media sosial Selasa lalu yang menyaksikan keretakan teruk akibat mendapan tanah di hadapan Klinik Kesihatan Long Lama.

MIRI: Tanah mendap di hadapan Klinik Kesihatan Long Lama dekat sini mungkin disebabkan kerja-kerja pembukaan tanah di kawasan berhampiran untuk pembinaan Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) Long Lama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, kerja-kerja pembersihan tanah di kawasan berdekatan klinik tersebut bagi tujuan membesarkan RGC Long Lama mungkin salah satu faktor pemendapan tanah yang menyebabkan keretakan di hadapan klinik.

“Namun ini hanya jangkaan awal saya sementara kita menunggu maklum balas daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) yang telah melakukan siasatan di lokasi berkenaan pada 26 Jun lalu,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Selain itu katanya, hujan lebat yang turun sejak beberapa minggu lepas memburukkan lagi keadaan hingga menyebabkan mendapan berlaku.

Dennis memberitahu, beliau sudahpun mencadangkan agar benteng turut dibina di situ untuk meng-elakkan kerosakan lebih teruk terutama pada struktur bangunan berkenaan.

“Selain itu, kami masih menunggu maklum balas daripada para pakar me-ngenai apa yang harus dilakukan selanjutnya,” katanya.

Walaupun tanahnya mendap di bahagian hadapan klinik namun ia masih lagi dibuka kepada orang ramai yang mendapatkan rawatan dan keperluan perubatan di situ.

Namun Dennis memberitahu, jika keadaan mendapan tanah di kawasan itu semakin buruk dan menimbulkan bahaya kepada orang awam maka mereka tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menutup sementara klinik tersebut.

Jika klinik kesihatan ini terpaksa ditutup untuk keselamatan penduduk, Dennis mencadangkan agar Pejabat Daerah Telang Usan yang baru dibina berhampiran dijadikan klinik sementara.

Berikutan mendapan tanah yang berlaku di bahagian hadapan bangunan klinik tersebut menyebabkan pintu masuk ditutup, dengan orang ramai yang datang men-dapatkan rawatan di klinik tersebut menggunakan pintu belakang.

Klinik tersebut menerima kira-kira 100 pesakit setiap hari dari kampung dan pe-nempatan berhampiran.

Beberapa video yang tular kelmarin di media sosial menunjukkan retakan se-panjang 30 meter di hadapan klinik tersebut, menyebabkan ramai percaya gempa bumi telah berlaku di kawasan itu.

Bagaimanapun pemimpin masyarakat Long Lama Penghulu Desmond Yap segera menafikan dakwaan tersebut dan memberitahu ia bukan gempa bumi, sebaliknya hanya tanah mendap.

Dennis juga memberitahu, beliau sudahpun berhubung dengan penduduk di Long Lama bagi membantu memantau dan mengawasi situa-si dengan teliti.

“Saya ingin menggesa orang ramai terutama yang ingin pergi ke klinik untuk pemeriksaan dan kakitangan di sana agar berhati-hati bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

“Keselamatan mereka sangat penting bagi saya,” katanya.

Advertisement