Anda di sini

SMK Pekan Telipok sedia pelajar kembali ke sekolah

Advertisement
 Salah seorang guru SMKPT membuat pemeriksaan suhu di pintu masuk sekolah.
PEMERIKSAAN: Salah seorang guru SMKPT membuat pemeriksaan suhu di pintu masuk sekolah.

KOTA KINABALU: Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan Telipok (SMKPT) sedia untuk menerima semula para pelajarnya untuk kembali ke sekolah, hampir empat bulan selepas sesi persekolahan ditutup ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung Pandemik COVID-19.

Pengetua SMKPT, Dr. Rutil Taising berkata, pihak pentadbiran sekolah termasuk para pendidik dan ahli jawatankuasa Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SMKPT telah bertungkus lumus menyediakan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang disarankan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan para pelajar apabila kembali memulakan sesi persekolahan nanti.

"Kita telah memulakan sesi persekolahan untuk pelajar tingkatan 5 yang melibatkan seramai 147 pelajar, dan antara SOP yang dilaksanakan adalah menjarakkan meja antara pelajar serta menyediakan pensanitasi tangan secukupnya di setiap kelas.

"Pihak sekolah telah mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan warga SMKPT  berada dalam keadaan selamat, dan sesi pembelajaran tidak akan terganggu dengan normal baharu ini,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau sesi pembelajaran para pelajar tingkatan lima sekolah tersebut baru-baru ini.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada para kakitangan dan ibu bapa yang terlibat dalam penyediaan SOP sekolah.

"Saya amat berpuas hati dengan SOP yang dilaksanakan ini, dan turut berterima kasih kepada warga pendidik, ibu bapa serta para pelajar yang terus memberikan kerjasama dalam menjayakan pelaksanaan pembelajaran atas talian sepanjang tempoh PKP,"ujar Dr. Rusil Taising.

Sekolah bakal dibuka sepenuhnya pada 15 Julai ini, membabitkan pelajar tingkatan satu hingga tingkatan empat bagi sekolah menengah.

Advertisement