Anda di sini

Polis komited banteras loteri haram dan judi dalam talian

Advertisement
 Pemeriksaan polis di lokasi serbuan.
BANTERAS: Pemeriksaan polis di lokasi serbuan.

KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan komited banteras kegiatan penjualan loteri haram dan perjudian dalam talian dengan merekodkan lima tangkapan sejak Selasa.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan berkata kesemua tangkapan adalah hasil serbuan ke atas tiga lokasi berasingan iaitu di Matang dan Batu Kawa.

Menurutnya, kesemua suspek yang terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki berusia lingkungan 19 hingga 33 tahun.

“Tiga daripada suspek yang ditangkap semalam (Rabu) semasa disoal siasat mengaku mengambil upah sebagai penjual tambah nilai (reload) untuk judi dalam talian.

“Manakala dua lagi wanita yang ditangkap pada Selasa mengaku menjual loteri haram,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Tambahnya, kesemua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Selain itu, turut dirampas ialah sejumlah wang tunai, telefon bimbit dan kertas-kertas yang tertera urusan jual beli loteri haram serta judi dalam talian,” jelasnya.

Aidil selain itu memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada pihaknya berhubung kegiatan penjualan loteri haram serta judi dalam talian.

“Sebaik-baiknya terus laporkan kepada kami dengan menyatakan maklumat seperti lokasi (penjualan) dan individu yang disyaki terlibat agar kami dapat ambil tindakan segera,” ujarnya.

Advertisement