Anda di sini

Pengusaha inap desa berdaftar disarankan memohon peruntukan RM20,000 yang disediakan

Advertisement
 Christina (kiri) merakamkan gambar kenangan bersama Liew ketika kunjungan hormat berkenaan.
KENANGAN: Christina (kiri) merakamkan gambar kenangan bersama Liew ketika kunjungan hormat berkenaan.

KOTA KINABALU: Pengusaha-pengusaha inap desa berdaftar di Sabah disarankan untuk memohon peruntukan sebanyak RM20,000 disediakan kerajaan bagi menaik taraf kemudahan-kemudahan di kawasan masing-masing.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, peruntukan itu disediakan kerajaan negeri menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

"Kita akan memproses setiap permohonan yang diterima daripada semua pengusaha inap desa berdaftar," katanya dalam satu kenyataan selepas menerima kunjungan hormat daripada Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk V.K Liew, di sini, kelmarin.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, dana berkaitan dengan projek kecil-kecilan berkaitan perlancongan itu adalah sebahagian daripada geran RM10 juta yang disediakan bagi menaik taraf kemudahan inap desa dan produk pelancongan berasaskan komuniti di bawah Sabah New Deal.

Sementara itu, Liew berkata geran berkenaan adalah satu berita baik kepada pengusaha pelancongan tempatan.

"Dengan itu, saya yakin produk pelancongan domestik akan bangun semula. Saya ingin menggalakkan pengusaha inap desa di Sandakan khususnya Batu Sapi untuk manfaatkan kesempatan ini agar mereka boleh mula menerima pengunjung sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos depan," katanya.

Ketika menyampaikan taklimat kepada Christina mengenai kawasan Batu Sapi, katanya usaha sedang dilakukan untuk menjadikan Taman Warisan Batu Sapi dan Pantai Pasir Putih kepada destinasi pelancongan.

Katanya, tumpuan kini diberikan kepada mengekalkan kebersihan di kawasan-kawasan pelancongan berkenaan dan menyelesaikan masalah pencemaran air yang terjejas di lokasi terbabit serta perkara berkaitan lain.

"Dengan wujudnya produk pelancongan berkenaan, kami berharap Sandakan akan terus menarik pelancong pada bulan-bulan akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Christina turut menjelaskan Sandakan sedia terkenal dengan destinasi pelancongan seperti Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, Santuari Gajah Borneo dan Pusat Pemulihan Beruang Matahari Borneo.

Pengusaha inap desa yang layak adalah mempunyai sijil yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, danLembaga Pelancongan Sabah.


 

  • oleh
  • Advertisement