Anda di sini

Pengumuman Ketua Menteri rombak pengurusan UCSF disambut baik

Advertisement
 Ahmad dan Abidin bersama rakan-rakan mereka yang juga kakitangan UCSF berterima kasih dengan Ketua Menteri susulan pengumumannya untuk melakukan rombakan struktur pengurusan organisasi terbabit.
TERIMA KASIH: Ahmad dan Abidin bersama rakan-rakan mereka yang juga kakitangan UCSF berterima kasih dengan Ketua Menteri susulan pengumumannya untuk melakukan rombakan struktur pengurusan organisasi terbabit.

KOTA KINABALU: 164 kakitangan University College Sabah Foundation (UCSF) yang terjejas dengan langkah penamatan kontrak dan pemotongan gaji menyambut baik pengumuman Ketua Menteri untuk melakukan rombakan struktur pengurusan organisasi institusi terbabit.

Jurucakap kumpulan kakitangan terbabit, Pegawai Pemasaran UCSF Ahmad Omar Khan berkata mereka bersyukur dan berterima kasih dengan keputusan drastik Ketua Menteri.

“Kami mengalu-alukan keputusan Ketua Menteri untuk UCSF selaku sebuah institusi pendidikan milik penuh Kumpulan Yayasan Sabah (KYS),” katanya, di sini, semalam.

Ahmad berkata keputusan itu diharap dapat dilaksanakan secepat mungkin untuk memastikan pentadbiran institusi pendidikan terbabit dapat terus berjalan dengan baik.

Menurutnya, perubahan pengurusan UCSF juga diharap dapat memastikan tumpuan terhadap aspek penjagaan kebajikan pelajar dan kakitangan insitusi itu ditambah baik.

“Kami menyokong kenyataan Ketua Menteri kerana pengumumannya mengenai rombakan organisasi itu bagai memberikan harapan baharu kepada kami semua.

“Tetapi kalau rombakan pengurusan ini tidak terjadi, mungkin perkembangan itu akan memberikan kesan buruk kepada kami selagi masih bekerja di UCSF,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kebimbangan awal mereka sebelum ini timbul berikutan langkah pengurusan UCSF mengambil pendekatan pemotongan gaji sebanyak 50 peratus.

Situasi itu disifatkan menimbulkan kekhuatiran berikutan ada kakitangan yang bergaji RM1, 200 tetapi mempunyai komitmen kewangan termasuk pinjaman dan sewa rumah.

“Kami juga ada diberitahu (oleh pihak pengurusan), sekiranya pada September ini kedudukan kewangan masih tidak bagus, kami diminta memohon cuti tanpa gaji.

“Pada masa sama Ketua Menteri sudah umum ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi bahawa tidak ada pemecatan, tetapi ada kawan kami yang tidak disambung kontrak.

“Sebab itu juga, besar harapan kami untuk melihat kawan-kawan yang tidak disambung kontrak semasa PKP baru-baru ini, dapat diserap masuk bekerja semula,” katanya.

Rakannya, Pegawai Latihan Vokasional UCSF Abidin Mohd Alam, pula berharap keputusan baharu itu dapat mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap UCSF.

Khususnya, berperanan sebagai institusi pendidikan yang membantu anak bumiputera Sabah tanpa mengenepikan kepentingan aspek kebajikan pelajar dan kakitangan.

“Kami berharap UCSF dapat diuruskan dengan baik sama seperti institusi pendidikan lain di negara ini tanpa bergantung sepenuhnya dengan bantuan kewangan Kerajaan Negeri.

“Ketua Menteri sudah buat pengumuman, sekarang kita menunggu masa pelaksanaannya sahaja,” katanya, sambil berharap reputasi UCSF selepas ini juga akan semakin bagus.

“Kami berterima kasih dengan keprihatinan Ketua Menteri, begitu juga semua agensi yang terlibat dalam membantu kami semenjak isu ini timbul dari awal lagi,” katanya.

Advertisement